KUALA LUMPUR 24 Jan. - Siasatan awal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati sindiket curi dan penyeludupan pasir di tiga buah negeri iaitu Selangor, Pahang dan Johor baru-baru ini adalah untuk pasaran tempatan.
Sumber memberitahu, kegiatan itu dijalankan tanpa melalui pembayaran tertentu termasuk bayaran permit yang dikenakan oleh kerajaan negeri.
Ia menjadikan pasir itu dijual dengan harga jauh lebih murah berbanding harga pasaran.
Setakat ini, tiada sebarang tangkapan terbaru dibuat berhubung sindiket berkenaan.
Sebelum ini, SPRM menahan 38 suspek termasuk seorang pegawai khas dan pembantu kepada Exco Selangor, Hussein Ahmad di beberapa buah negeri.
Suapan tersebut turut melibatkan tiga kes rasuah seks bertujuan memudahkan proses permohonan dan kelulusan mendapatkan pasir.
Sumber juga mengesahkan tangkapan yang dibuat di negeri-negeri berasingan itu tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain.
Daripada 38 individu yang ditahan, 20 telah direman manakala bakinya dilepaskan dengan jaminan SPRM setelah pernyataan percakapan mereka diambil.
Baru-baru ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Mohd. Shukri Abdull ketika mendedahkan kegiatan itu berkata jumlah anggaran wang rasuah bagi kes itu melebihi RM280,000 dengan nilai suapan antara RM500 dan RM50,000 setiap seorang.
Katanya, ada kes-kes wang rasuah diterima secara bulanan dan terdapat tiga kes melibatkan rasuah seks.
Beliau percaya, pemberian rasuah itu bertujuan memproses permohonan permit pasir, mempercepat permohonan permit pasir dan tidak mengambil tindakan terhadap individu yang membawa pasir keluar tanpa permit.
Sunday, January 24, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment