Wednesday, January 13, 2010

Pelaburan cacing: Empat lelaki ditahan

KULIM 13 Jan 2010 - Polis menahan empat lelaki bagi membantu siasatan berhubung sindiket penipuan skim ternakan cacing yang merugikan lebih 3,000 pelabur dengan nilai hampir RM25 juta di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Supritendan Rossnee Abdul Hamid berkata, suspek yang berusia antara 30 hingga 47 tahun itu ditahan di Jitra dan beberapa lokasi berasingan sekitar daerah ini dalam satu operasi khas yang dijalankan semalam.

Katanya, semua suspek yang ditahan, dipercayai bertindak sebagai broker atau orang tengah dalam urusan penipuan dan mengumpul deposit secara haram berkenaan.

"Kesemua suspek tersebut dikatakan menjadi orang tengah yang memperdayakan mangsa-mangsa untuk melabur.

"Sehingga hari ini, polis menerima sebanyak 176 laporan daripada mangsa di seluruh negara berhubung kejadian tersebut. Kebanyakan laporan polis diterima adalah dari daerah Kulim,

Sungai Petani, Pendang, Alor Setar dan Dang Wangi di Kuala Lumpur.

"Jumlah kerugian yang dilaporkan setakat ini adalah sebanyak RM1.8 juta," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam kejadian Ahad lalu, lebih 3,00 pelabur skim ternakan cacing mengadakan perhimpunan di hadapan pejabat sebuah syarikat di Kilang Lama, dekat sini mendakwa mengalami kerugian selepas pengusaha skim itu melarikan diri bersama wang pelaburan mereka.

Pelabur tersebut mendakwa, mereka mengalami kerugian melebihi RM25 juta setelah terpedaya dengan penganjur skim yang menjanjikan pulangan istimewa melalui ternakan cacing di tujuh cawangan pejabat syarikat Kulim Worms Agrotech Sdn. Bhd.

Menurut Rossnee, polis kini turut mengesan pasangan suami isteri, dipercayai merupakan salah seorang daripada tiga pengarah bagi membantu siasatan.

Katanya, mereka ialah Abdul Razak Ahmad, memegang kad pengenalan bernombor 640812-10-7483 dan Fatimah Ismail, kad pengenalan bernombor 680923-02-5604.

Alamat terakhir pasangan itu ialah di Nombor 839, Jalan Bahagia, Taman Sejahtera, Lunas, Kulim.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, Asisten Supritendan Rawi Abdul Ghani di talian 04-4096222 atau Inspektor Tarmidzi Zain (013-4426314) bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment