Thursday, January 21, 2010

'Mak Cik' dalang seludup minyak

TUMPAT 21 Jan 2010 - Meskipun kerajaan mengetatkan prosedur termasuk mengehadkan pembelian minyak terhadap warga asing di sempadan negara, namun ia tidak mematahkan usaha segelintir pihak untuk menyeludup bahan api itu.

Terbaru, Pasukan Gerakan Marin (PGM) berjaya menghidu aktiviti penyeludupan keluar minyak ke negara jiran menggunakan 20 kenderaan pacuan empat roda (4WD) dipercayai didalangi oleh seorang wanita rakyat asing.

Pegawai Pemerintah PGM Pengkalan Kubor, Deputi Supritendan Tan Cheng San berkata, kesemua kenderaan berkenaan digunakan oleh orang suruhan wanita berkenaan yang hanya dikenali sebagai 'Mak Cik' di negara jiran.

"Kami mendapat maklumat ini selepas menyoal siasat salah seorang pemandu 4WD itu yang berjaya ditahan semalam.

"Lelaki itu ditahan dan mengakui mendapat upah oleh seorang wanita bernama 'Mak Cik' berusia sekitar 30-an untuk membawa keluar minyak dari negara ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kerajaan pada 16 Disember lalu menetapkan semua kenderaan negara jiran hanya boleh mengisi bahan api sebanyak 20 liter sahaja dalam lingkungan 50 kilometer dari kawasan sempadan negara.

Menurut Cheng San, tangki minyak bagi setiap 4WD berkenaan turut diubah suai bagi membolehkan setiap kenderaan itu mengisi sehingga 300 liter minyak.

Selain itu katanya, mereka turut menggunakan taktik mengisi hanya RM20 di beberapa stesen minyak sehingga tangki penuh bagi mengelakkan daripada dikesan pihak berkuasa.

"Penyeludupan yang didalangi oleh wanita ini sangat licik dalam menjalankan kegiatan haram mereka oleh itu kita akan giatkan usaha mengesannya.

"Siasatan mendapati setiap hari mereka akan masuk ke negara ini sekurang-kurangnya tiga kali untuk membeli minyak," tambah beliau.

No comments:

Post a Comment