Tuesday, January 26, 2010

SPRM selesai siasat lawatan bekas MB ke Disneyland

Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail
nazuri@bharian.com.my
SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyiapkan kertas siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan dana awam untuk lawatan kerja bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo ke Taman Tema Disneyland di Perancis dan Amerika Syarikat pada 2004 dan 2007.

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Jaafar Mahad, berkata kertas siasatan itu diambil alih oleh SPRM Putrajaya dan beliau dimaklumkan siasatan sudah selesai.

Beliau berkata, kertas siasatan kes itu sudah diserahkan kepada Peguam Kanan Persekutuan SPRM untuk tindakan selanjutnya.



“Saya dimaklumkan oleh Ibu Pejabat SPRM bahawa siasatan mengenainya sudah selesai dan diserahkan kepada Peguam Kanan Persekutuan.

“Kita serahkan kepada pihak Peguam Kanan Persekutuan untuk membuat keputusan sama ada membuat pendakwaan atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bangunan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini, semalam.

Jaafar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan dakwaan penyalahgunaan dana awam untuk lawatan kerja Mohamad Khir ke Taman Tema Disneyland di Perancis dan Amerika Syarikat.

Dr Mohamad Khir didakwa menggunakan dana kerajaan negeri untuk membuat dua lawatan ke Taman Tema di Perancis dan Amerika Syarikat pada 2004 dan 2007.

Lawatan tersebut dikatakan membabitkan perbelanjaan kira-kira RM1.7 juta menggunakan wang anak syarikat kerajaan negeri, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Terdahulu, kira-kira 30 ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor berkumpul di pejabat SPRM Selangor dengan membawa replika ‘Disneyland’ untuk mengingatkan agensi itu supaya segera menyelesaikan siasatan kes itu, kira-kira jam 11.30 pagi.

No comments:

Post a Comment