Monday, January 25, 2010

RM1.34j VCD haram dirampas

Oleh HAMIMAH HAMID
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 25 Jan 2010 - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri merampas cakera padat video (VCD) serta cakera video digital (DVD) cetak rompak bernilai RM1.34 juta dalam operasinya tahun lalu.

Pengarahnya, Mokhtar Sulaiman berkata, nilai itu melibatkan 121 kes serbuan yang dilakukan di seluruh negeri itu.

"Kesemua serbuan dilakukan hasil maklumat orang ramai dan mereka yang terlibat dalam industri hiburan.

"Ini adalah antara kejayaan terbesar kita. Kesemua hasil rampasan ini akan dijadikan bahan bukti sebelum dimusnahkan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Mokhtar, bagi memastikan kegiatan menjual VCD dan DVD cetak rompak tidak berkembang, pihaknya akan memperhebatkan lagi operasi tahun ini.

Tegasnya, lokasi panas di seluruh daerah telah dikenal pasti dan operasi akan dijalankan tanpa mengira masa.

Operasi menyeluruh, katanya, akan dijalankan di kedai menjual VCD, pasar malam dan kedai makan.

"Kita telah menerima arahan daripada kementerian untuk menjalankan operasi secara menyeluruh tahun ini. Tiada lagi istilah penguat kuasa tutup mata.

"Walaupun tidak dapat membanteras sindiket ini 100 peratus, tetapi kita yakin akan dapat mengurangkannya ke tahap minimum," katanya.

Selain itu, ujarnya, pegawai penguatkuasanya juga akan membuat pemantauan di kafe siber dan menahan mereka yang menjalankan aktiviti muat turun lagu bagi melindungi industri kreatif negara.

Pada masa yang sama, beliau turut memohon kerjasama orang ramai supaya melaporkan aktiviti haram itu kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.

Sebarang maklumat mengenai aktiviti jualan VCD dan DVD cetak rompak, orang ramai boleh menghubungi KPDNKK negeri di talian 1-800-886-800 atau e-mel ke e-aduan@kpdnkk.gov.my.

No comments:

Post a Comment