Friday, January 29, 2010

Dua anggota Kastam, seorang kakitangan PTG didakwa rasuah

Dari kiri: Penguasa Kastam, Kamarudin Ismail, Pembantu Penguasa Kastam, Syahrol Md.Zain dan pekerja rendah awam gred R1, Johairi Ahmad mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima rasuah berhubung kegiatan penyeludupan pasir ke Singapura.

--------------------------------------------------------------------------------



JOHOR BAHRU 29 Jan 2010 – Dua anggota Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan seorang kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima rasuah berhubung kegiatan penyeludupan pasir ke Singapura, tahun lalu.

Penguasa Kamarudin Ismail, 49; Pembantu Penguasa Syahrol Md. Zain, 31, dan pekerja rendah am di Pejabat Pengarah PTG, Johairi Ahmad, 41, mengaku tidak bersalah atas tuduhan masing-masing ketika dihadapkan ke tiga mahka mah berasingan .

Kamarudin dari Bahagian Perkhidmatan Teknik, Menara Kastam Johor menghadapi tiga tuduhan menerima suapan daripada Zacharias Kho bagi mempercepat, melulus dan memudahkan permohonan penjenisan barangan yang dikemukakan ke bahagian tersebut.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa menerima wang tunai RM500 kira-kira pukul 6 petang, 23 Julai tahun lalu di Restoran Bindu Curry House manakala tuduhan kedua, didakwa menerima RM500 lagi kira-kira pukul 7 malam, 14 Ogos tahun lalu di restoran yang sama.

Tuduhan ketiga pula, dia didakwa menerima wang tunai RM2,500 di bilik 1302, Hotel Grand Blue Wave, di sini kira-kira pukul 8 malam, 7 September tahun lalu.

Kamarudin yang diwakili peguam Khairul Aswat dibenarkan diikat jamin RM5,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan. Hakim Salawati Djambari menetapkan perbicaraan bermula 10 Mei tahun depan.

Syahrol daripada Bahagian Pencegahan pula menghadapi dua tuduhan rasuah daripada Sendry Anak Ugi atau Ah Sim, 33, sebagai upah tidak mengambil tindakan terhadap tujuh buah lori yang menyeludup pasir ke Singapura.

Dia didakwa menerima suapan wang tunai RM2,400 di bilik 1252, Hotel The Zon di sini kira-kira pukul 1.15 tengah hari, 10 Julai 2009 dan pada pukul 7.37 petang, 5 Ogos 2009 di Bar Trevi Lounge, Hotel Grand Blue Wave, di sini.

Hakim Muhamad Jamil Hussin menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 terhadap Syahrol sementara menunggu sebutan semula pada 9 Mac depan.

Sementara itu, Johairi dituduh menerima suapan wang tunai RM800 daripada Sendry di bilik 1005, Hotel Grand Blue Wave di sini pada pukul 4.09 petang, 6 Ogos tahun lalu.

Suapan tersebut didakwa sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas empat buah lori yang menyeludup pasir ke Singapura.

Hakim Aliman Musri membenarkan Johairi diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula pada 26 Mac depan.

Ketiga-tiga mereka dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan terhadap ketiga-tiga tertuduh dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurfazlin Hamdan.

No comments:

Post a Comment