Friday, January 29, 2010

3 didakwa kes seludup pasir (29/1/10)

Oleh Mohd Zin Ali
mdzin@nstp.com.my




JOHOR BAHRU: Dua pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Johor dan seorang kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor dihadapkan secara berasingan di Mahkamah Sesyen, di sini semalam, kerana didakwa menerima suapan berhubung kes penyeludupan pasir ke Singapura tahun lalu.



Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh terbabit, Syahrol Md Zain, 31; Kamarudin Ismail, 49; kedua-duanya pegawai KDRM Johor dan Johari Ahmad, 41; kakitangan PTG Johor yang didakwa di kamar berasingan tidak mengaku bersalah apabila pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Hakim Muhammad Jamil Hussin memerintahkan Syahrol yang menghadapi dua pertuduhan dikenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan kes akan disebut semula pada 9 Mac depan.

Syahrol yang Pembantu Penguasa Kastam (W17) didakwa menerima suapan sebanyak RM2,400 daripada Sendry Ugi, 34, supaya tidak mengambil tindakan ke atas tiga lori yang menyeludup pasir ke Singapura di Bilik 1252, Hotel The Zon, di sini pada jam 1.15 tengah hari, 10 Julai tahun lalu.

Beliau juga didakwa menerima suapan sebanyak RM3,200 daripada Sendry supaya tidak mengambil tindakan ke atas empat lori yang menyeludup pasir ke Singapura di Bar Trevi Lounge, Hotel Grand Blue Wave, di sini pada jam 7.37 malam, 5 Ogos tahun lalu.

Dalam perbicaraan berasingan, Hakim Salawati Djambari juga memerintahkan Kamarudin yang dikenakan tiga pertuduhan membayar wang jaminan sebanyak RM5,000 dengan kes akan dibicarakan pada 10 hingga 12 Mei 2011.

Kamarudin yang juga Penguasa Kastam yang bertugas di Bahagian Perkhidmatan Teknik Menara Kastam didakwa menerima rasuah sebanyak RM500 daripada Zacharias Kho sebagai dorongan untuk mempercepat dan mempermudahkan permohonan penjenisan barangan yang dikemukakan kepada Bahagian Perkhidmatan KDRM Johor di Bindu Curry House, Jalan Abdul Samad, kira-kira jam 6 petang, 23 Julai tahun lalu.

Pada satu lagi perbicaraan, Hakim Aliman Musri pula memerintahkan Johari yang juga pekerja awam gred R1 di PTG Johor yang menghadapi satu pertuduhan diikat jamin RM6,000 dan menetapkan perbicaraan pada 26 Mac ini.

Beliau menghadapi pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM800 daripada Sendry Ugi sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas empat lori yang menyeludup pasir di Bilik 1005, Hotel Grand Blue Wave, di sini pada jam 4.09 petang, 6 Ogos tahun lalu.

No comments:

Post a Comment