Thursday, January 14, 2010

18 unit komputer dirampas

Oleh HAMIMAH HAMID
utusanperak@utusan.com.my



Abdul Aziz Salleh melihat sebahagian 18 buah komputer yang dirampas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar, kelmarin.

--------------------------------------------------------------------------------



KAMPAR 14 Jan. - Polis merampas sejumlah 18 unit komputer yang diubah suai menjadi mesin judi haram bernilai RM9,000 dalam satu operasi di Jalan Ampang di sini pada 4 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Abdul Aziz Salleh berkata, dalam operasi tersebut, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM2,877.

Menurutnya, hasil serbuan itu, pihaknya menahan seorang penjaga premis tersebut. Turut ditahan, enam lelaki yang dikatakan pelanggan pusat judi itu.

"Mereka yang ditahan berusia antara 25 hingga 35 tahun manakala penjaga premis terbabit berusia lingkungan 40-an," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di sini semalam.

Menurut beliau, suspek telah didakwa di Mahkamah Majistret Kampar di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Jika sabit kesalahan katanya, penjaga premis itu boleh didenda sehingga RM100,000 untuk satu komputer dan penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Abdul Aziz berkata, operasi disertai sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kampar serta pakar mesin judi itu dibuat hasil maklumat orang awam.

"Premis itu dikatakan baru beroperasi selama dua minggu dan beroperasi tanpa lesen.

"Hasil siasatan, pusat judi itu berselindung di sebalik kafe siber bagi mengaburi aktiviti mereka itu," katanya.

No comments:

Post a Comment