Thursday, January 28, 2010

Lelaki seludup minyak ditahan

BUKIT KAYU HITAM 28 Jan 2010 - Kegiatan penyeludupan petrol subsidi menggunakan kenderaan yang diubah suai semakin menjadi-jadi.

Terbaru, seorang lelaki ditahan oleh anggota Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Bukit Kayu Hitam kerana cuba menyeludup petrol ke negara jiran menggunakan kereta yang telah diubah suai pada tangki.

Komander UPP Kedah, Mohd. Noor Idris berkata, lelaki tempatan berusia 46 tahun itu ditahan pukul 9.15 pagi ini dalam sekatan UPP di Kilometer 1.3, Lebuh Raya Utara Selatan.

"Dia dipercayai dalam perjalanan menuju ke negara jiran untuk membawa masuk petrol berkenaan. Kita percaya lelaki itu sudah lama menjalankan kegiatan tersebut.

"Sewaktu ditahan, tiada sebarang perbezaan dikesan pada kereta jenis Honda Civic yang dipandu suspek. Namun, setelah kita lakukan pemeriksaan rapi, kami menemui dua tangki tambahan di belakang pembesar suara bonet kereta itu," katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Noor, tangki minyak tambahan itu mampu memuatkan sebanyak 200 liter petrol atau diesel. Namun ketika ditahan, tangki itu mempunyai kira-kira 60 liter petrol.

Kes ini, katanya, diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Mohd. Noor memberitahu, pihaknya menahan seorang lelaki warganegara Thailand kerana memiliki 19 butir peluru hidup untuk senapang patah jenis '12 Bore'.

Menurutnya, lelaki berusia 56 tahun itu ditahan ketika pihak UPP membuat sekatan di kawasan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di sini.

Kesemua peluru tersebut ditemui bersama sehelai baju di tempat duduk belakang kenderaan yang dipandu lelaki itu, katanya.

No comments:

Post a Comment