Sunday, January 17, 2010

Polis perketat rondaan di Hang Tuah Mall

MELAKA 17 Jan 2010 - Polis kini giat melakukan rondaan di Hang Tuah Mall di sini bagi membanteras kegiatan penjualan barangan gajet yang dipercayai dicuri.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman berkata, pihaknya telah pun menempatkan anggota polis untuk melakukan rondaan di Jalan Hang Tuah sepanjang 1.2 kilometer itu.

Menurutnya, pihak polis memandang serius kegiatan tersebut walaupun belum pernah menerima laporan berkaitan penjualan barangan curi di kawasan itu sebelum ini.

"Saya tidak tahu kenapa ada yang mendakwa Hang Tuah Mall menjadi tumpuan untuk menjual barangan curi kerana setakat ini kita tiada maklumat mengenainya.

"Bagaimanapun, bila baca laporan itu, saya telah mengarahkan anggota melakukan rondaan di kawasan itu dan sekitarnya," kata beliau kepada pemberita selepas program gotong-royong di Kampung Pulau Kelapa di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia semalam yang mendedahkan aktiviti penjualan pelbagai barangan gajet seperti telefon bimbit dan kamera dipercayai dicuri oleh beberapa individu dan sekali gus mencemari populariti Hang Tuah Mall.

Laporan itu mendakwa kegiatan tidak bermoral itu berlaku apabila seorang lelaki akan menghampiri setiap pemandu yang meletakkan kenderaan untuk berurusan di bank atau makan di situ.

Salah seorang pekerja premis makanan di situ yang berasa terancam dengan kegiatan itu juga mendakwa selain menjual barangan dipercayai curi, individu tersebut juga menjual barangan palsu seperti telefon bimbit tanpa disedari pembeli.

No comments:

Post a Comment