Thursday, January 14, 2010

Kementerian rampas 830 tong gas

SUBANG: Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPD-NKK) merampas 830 tong gas subsidi termasuk 142 daripadanya berisi 50 kilogram dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM100,000, dalam serbuan yang dilakukan di sebuah premis di Kampung Subang di sini, petang semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam empat petang itu, dua lelaki termasuk pemandu lori yang juga pembekal gas dari sebuah kilang turut ditahan ketika sedang memunggah bekalan untuk dimasukkan ke dalam stor premis berkenaan.

Ketua Operasi Unit Kawalan Bahagian Petroleum KPDNKK, Mohd Hashim Mad Daud, berkata hasil risikan selama beberapa minggu dan bantuan daripada orang awam, pihaknya menyerbu sebuah premis yang disyaki menyimpan gas subsidi tanpa memiliki sebarang permit.



“Hasil serbuan ke atas premis itu, mendapati terdapat 688 tong gas berisi 14 kilogram yang dijual pada harga RM24 setiap satu dan 142 tong gas berisi 50 kilogram dengan anggaran nilai keseluruhan RM100,000.

“Siasatan awal juga mendapati, pemilik premis berkenaan turut menggunakan taktik kotor iaitu setiap satu gas yang berisi 14 kilogram itu dikurangkan sebanyak lima kilogram kepada sembilan kilogram sebelum dibekalkan kepada peruncit di sekitar kawasan berkenaan.

“Lima kilogram setiap satu tong itu akan dimasukkan ke dalam tong industri yang berisi 50 kilogram untuk dijual kepada kilang berdekatan dengan harga RM150,000,” katanya ketika di temui, di sini, semalam.

Mohd Hashim berkata, tindakan licik pemilik premis berkenaan dengan mengurangkan bekalan gas, namun dijual pada harga yang sama menyebabkan mampu memperoleh keuntungan berganda.

“Justeru, kami menahan dua lelaki termasuk seorang pemandu lori dari sebuah syarikat pembekal untuk disoal siasat.

“Barang rampasan termasuk sebuah lori itu dihantar ke stor Nilai dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana mempunyai pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai sebarang permit untuk menyimpan barang subsidi,” katanya yang sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM100,000 bagi individu manakala RM250,000 bagi syarikat.

No comments:

Post a Comment