Thursday, January 21, 2010

Saksi mengaku tawar harga imbuhan pekerja asing

KUALA LUMPUR 21 Jan 2010 - Pengadu dalam kes rasuah bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md. Don hari ini memberitahu, dia ada 'tawar menawar' berkenaan jumlah imbuhan untuk mempercepatkan proses kelulusan visa pekerja Bangladesh.

Mohamad Hasnan Hassan, 41, menyatakan proses penawaran harga itu berlaku antara dia dan seorang ejen pekerja asing, Buruganudeen Mohamed Ismail, 50, yang mendakwa boleh membantunya mempercepatkan kelulusan visa dengan kuasa daripada Ketua Pengarah Imigresen.

Saksi pendakwaan ke-18 yang merupakan ejen pekerja asing itu menyatakan, dia kemudian bersetuju mengadakan perbincangan lanjut dengan lelaki tersebut.

Menurutnya, Buruganudeen pada mulanya meminta imbuhan RM350 untuk setiap pekerja tetapi dia tidak bersetuju kerana majikan yang menggunakan khidmatnya merasakan harga tersebut tidak wajar.

"Jadi saya berjumpa Buruganudeen untuk tawar menawar jumlah berkenaan antara RM200 dan RM250 bagi setiap pekerja.

"Malangnya, Buruganudeen tidak bersetuju dengan tawaran saya itu," katanya ketika menjawab soalan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Kamal Ariffin Ismail di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Menurut Mohamad Hasnan, dia kemudian meminta pendapat dan nasihat daripada rakannya, Abdullah Che Man berkenaan harga tersebut.

Katanya, Abdullah menasihatinya membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana perbuatan itu salah malah tiada bayaran perlu dibuat kepada kerajaan untuk kelulusan visa kerana ia percuma.

Menurutnya, selepas membuat aduan kepada SPRM, dia menyiapkan bank draf berjumlah RM87,500 untuk 250 pekerja Bangladesh.

Saksi itu berkata, SPRM turut menyediakan wang tunai RM1,750 bagi lima lagi pekerja asing seperti diberitahu kepada Buruganudeen bahawa terdapat permintaan tambahan.

Mohamad Hasnan memberitahu, pertemuannya dengan Buruganudeen diaturkan di sebuah restoran di Taman Seri Gombak bagi menyerahkan bank draf dan wang tunai tersebut.

"Atas nasihat SPRM saya diminta mengeluarkan kemeja yang saya pakai sebagai isyarat bahawa bank draf dan wang berkenaan sudah diserahkan.

"Selepas Buruganudeen mengambil kedua-duanya, saya beredar dari restoran itu dan saya tidak tahu bagaimana dia ditahan serta apa yang berlaku selepas itu," katanya.

Menjawab soalan Ahmad Kamal mengenai wang tersebut, saksi itu menjelaskan, SPRM menggunakan wang tunai RM1,750 untuk membuktikan Buruganudeen melakukan kesalahan rasuah manakala bank draf RM87,500 adalah wangnya sendiri.

Wahid, 57, dibicara atas tuduhan menerima rasuah RM60,000 daripada ahli perniagaan, Datuk Low Chang Hian sebagai upah mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, Persimpangan Jalan Duta di sini pada pukul 10.15 malam, 10 Julai tahun lalu.

Dia yang diwakili peguam bela Datuk V. Sithambaram didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosbiahanin Arifin bersambung 26 Januari ini.

No comments:

Post a Comment