Thursday, January 28, 2010

Sindiket jual haiwan liar guna Internet tumpas

SHAH ALAM 28 Jan 2010 – Cubaan tiga lelaki menjual hidupan liar melalui iklan dalam Internet tumpas setelah mereka ditahan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, baru-baru ini.

Berikutan kejayaan itu, Perhilitan merampas lapan ekor haiwan yang dilindungi, antaranya ular senduk, ular sawa Boa, burung murai batu, burung kelicap dan iguana yang kesemuanya dianggarkan bernilai hampir RM30,000.

Kegiatan yang melanggar Akta Perlindungan Hidupan Liar 1976 tersebut dikesan hasil pemantauan jabatan itu dalam beberapa laman web yang menjalankan aktiviti perdagangan seperti mudah.my dan adpost.com sebulan lalu.

Pengarah Perhilitan Selangor, Rahmat Topani berkata, tiga lelaki terbabit ditahan dalam serbuan berasingan selepas pihaknya menyamar sebagai pembeli haiwan itu.

Beliau berkata, dua daripada mereka ditangkap di Taman Maluri, Kuala Lumpur dan Bandar Baru Bangi pada 23 Januari lalu.

Menurut beliau, ketika ditahan, Perhilitan menemui seekor burung kelicap dan dua ekor burung murai batu dalam rumah dan kenderaan kedua-dua lelaki berkenaan.

Serbuan ketiga pula, katanya, dilakukan kelmarin di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Bukit Tinggi, Klang.

“Dalam serbuan itu, kita menemui dua ekor iguana dalam kereta suspek. Susulan tangkapan itu, Perhilitan menyerbu rumah suspek di Klang dan menemui seekor biawak, ular senduk, ular sawa darah, ular Boa ekor merah dan ular sawa Burma,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Perhilitan Selangor di sini hari ini.

Menurut Rahmat, kesemua hidupan liar itu diserahkan kepada pejabat Perhilitan Cheras dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 68 Akta Hidupan Liar 1976 (Akta 76).

Kata beliau, suspek dua kes pertama sudah dikenakan kompaun manakala suspek kes ketiga dibebaskan dengan jaminan sehingga 25 Februari ini bagi sebutan kes di Mahkamah Klang.

Tambahnya lagi, setiap hidupan liar yang dirampas mempunyai nilai pasaran tinggi berikutan sukar ditemui di negara ini.

“Misalnya ular sawa Burma, kita anggarkan boleh dijual pada harga lebih RM10,000 seekor, ular sawa Boa (RM8,000), ular sawa darah (RM3,000), ular senduk (RM3,000) dan biawak (RM500),” jelasnya.

No comments:

Post a Comment