Tuesday, January 19, 2010

Kereta tempatan pula diubahsuai untuk seludup minyak

PADANG BESAR: Sebelum ini banyak kes pengubahsuaian kenderaan Thailand untuk menyeludup diesel dan petrol dikesan, namun awal pagi semalam polis mengesan sebuah kereta tempatan pula diubahsuai bagi tujuan sama.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supt Che Man Md Dros, berkata kereta itu ditemui di sebuah stesen minyak di Titi Tinggi jam 12.50 tengah hari dan apabila didekati polis, pemandunya lari meninggalkan kenderaan itu.

"Pemeriksaan mendapati, kenderaan itu yang cukai jalannya telah tamat tempoh pada Disember 2008 telah diubahsuai dengan tangki baru lebih besar yang boleh mengisi sehingga 1,000 liter minyak," katanya.



Che Man berkata, polis telah merampas kenderaan itu bersama 150 liter petrol dalam tangki untuk diserah kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi tindakan lanjut.

Dalam perkembangan lain, polis merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api dalam kotak dan bungkusan plastik hitam dipercayai diseludup dari Thailand di kawasan semak berhampiran pagar sempadan di sini awal pagi semalam hasil maklumat awam.

Polis percaya bahan itu, bernilai RM20,000, adalah untuk diedarkan menjelang sambutan Tahun Baru Cina.

Tiada tangkapan dilakukan berhubung rampasan itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment