Thursday, January 21, 2010

Tiga lelaki dicari bantu kes tipu geran tanah (21/1/10)

Oleh Hamid Salleh
bhkt@bharian.com.my
KUALA TERENGGANU: Polis mencari tiga lelaki bagi membantu siasatan beberapa kes penipuan penukaran hak milik tanah di Pejabat Tanah Kuala Terengganu (PTDKT) dengan menggunakan MyKad palsu.

Ketua Jabatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Azmi Adam, berkata mereka ialah Anizam Ibrahim, 42, dan Nor Belam Jusoh, 41, masing-masing dari Bukit Tunggal serta Md Sabri Ahmad, 42, dari Kampung Banggol Air Lilih, Pekan Batu Enam, Kuala Terengganu.

Katanya, tiga lelaki terbabit dipercayai dapat membantu siasatan kes penukaran hak milik tanah menggunakan MyKad palsu.



“Orang ramai yang mengetahui di mana tiga lelaki ini berada perlu menghubungi balai polis berhampiran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini, semalam.

Azmi berkata, Selasa lalu polis menahan tiga lelaki berusia 24 dan 64 tahun ketika memohon menukar nama hak milik tanah di PTDKT menggunakan kad pengenalan palsu kira-kira jam 4.30 petang.

“Mereka kini ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, seorang lelaki 64 tahun dikesan menggunakan borang 14A untuk permohonan memasukkan namanya dalam geran tanah seluas 0.56 hektar di Kampung Paya Palas, di sini, petang berkenaan.

Azmi meminta orang ramai yang mendapati geran tanah milik mereka ditukar kepada nama orang lain secara tidak sah supaya membuat laporan polis.

No comments:

Post a Comment