Saturday, January 30, 2010

RM56,000 benih kerang cuba diseludup dirampas (30/1/10)

Oleh Rashidi Karim
Sepasang suami isteri, remaja antara lima ditahan APMM

KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan lima penyeludup, termasuk sepasang suami isteri dan seorang remaja kerana disyaki cuba menyeludup benih kerang bernilai hampir RM56,000 dan diesel menerusi laluan laut dalam dua kejadian berasingan di perairan Kuala Perlis, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian pertama kira-kira jam 10.40 malam, tiga lelaki, termasuk seorang remaja lelaki warga Thailand ditahan bersama 93 guni benih kerang seberat kira-kira 4,000 kilogram (kg) yang disorok dalam sebuah bot nelayan dipercayai dipunggah dari pengkalan haram, satu batu nautika dari pantai Kuala Perlis.



Sejam selepas itu, sepasang suami isteri warga Thailand berusia 54 dan 62 tahun ditahan anggota penguat kuasa sama di lokasi berdekatan ketika cuba menyeludup diesel dan minyak masak yang disorok di bawah timbunan sampah dan barangan kitar semula menggunakan bot.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 1 Langkawi, Kapten Abdul Rahim Abdullah, berkata tiga awak-awak di dalam bot terbabit, termasuk seorang remaja ditahan kerana disyaki cuba menyeludup benih kerang bernilai RM55,800 yang dibawa dari Selangor.

“Dua suspek berusia 28 dan 42 tahun berkenaan adalah warga tempatan manakala remaja berusia 17 tahun pula dari negara jiran kini ditahan untuk siasatan.

“Sebelum itu, suspek cuba melanggar bot laju Kilat 5 dinaiki anggota APMM ketika cuba melarikan diri sebelum ditahan bot Kilat 6 yang berpangkalan di Langkawi, kira-kira 500 meter menghampiri perairan negara jiran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat APMM di Kuala Perlis, semalam.

No comments:

Post a Comment