Tuesday, January 12, 2010

Perlu buat penjelasan

Bridget lai

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 12 Jan. – Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Bank Bhd. Datuk Bridget Lai yang sedang berdepan dengan siasatan dalaman, kini diberi tempoh selama tujuh hari untuk membuat penjelasan.

Difahamkan, siasatan itu adalah berkaitan konflik kepentingan melibatkan Lai dalam mengurus bank berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Thomas Lee berkata, siasatan masih lagi dilakukan dan tempoh penjelasan itu boleh dilanjutkan sekiranya diperlukan.

‘‘Ketua Pegawai Eksekutif telah diminta menjawab beberapa soalan dan kami menunggu jawapannya.

‘‘Kami perlu menunggu dan melihat kepada proses perundangan, apa yang kami bimbang sekarang adalah (impak) kepada pemegang saham, pelabur dan pelanggan.

‘‘Kami lebih risau tentang prestasi bank berbanding Lai. Lai hanya sekadar individu. Proses ini tidak akan berpanjangan,’’ katanya pada taklimat media Alliance Bank di sini, hari ini.

Sementara itu, Alliance Bank dalam kenyataannya di sini berkata, siasatan yang dilakukan itu tidak membabitkan perniagaan teras bank atau transaksi pelanggan serta tidak memberi kesan kepada imbangan kira-kira bank dan keuntungannya.

Selain itu, siasatan tersebut juga tidak membabitkan sebarang siasatan polis dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Lee, Lai yang sedang bercuti sejak 15 Disember lalu masih lagi merupakan Ketua Pegawai Eksekutif bank tersebut.

Kontrak Lai akan tamat pada September 2011

Pada taklimat itu, Lee turut mengesahkan Ketua Pegawai Operasi Alliance Bank, Sim Kon Tech juga sedang bercuti dan pihaknya sedang dalam proses meminta Kon Tech memberi penjelasan.

Lee memberitahu, siasatan bermula daripada Jabatan Hartanah bank itu pada Oktober lalu.

Ditanya, sama ada Alliance Bank sedang mencari pengganti Lai, Lee memberitahu, pihaknya perlu memberi peluang kepada Ketua Pegawai Eksekutif itu memberikan penjelasan.

‘‘Jika kami tidak melakukannya (memberi peluang), ia tidak adil untuk beliau (Lai),’’ jelas beliau.

Sementara itu, Pegawai Gantian (Relief Officer) untuk Lai, Choo Joo Keong berkata, apabila Ketua Pegawai Eksekutif mengambil cuti pegawai gantian akan dilantik.

‘‘Ketika ini ialah giliran saya. Saya bukan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Pegawai Gantian dilantik oleh lembaga pengarah’’ tambah beliau ketika ditanya kenapa pegawai gantian dilantik.

Joo Keong berkata, peranan Pegawai Gantian adalah memastikan keputusan yang diambil mengikut garis panduan yang ditetapkan bagi memastikan perniagaan kekal kukuh dan tiada gangguan (semasa Ketua Pegawai Eksekutif bercuti).

No comments:

Post a Comment