Wednesday, January 20, 2010

Gulatis disaman selebriti lagi

KUALA LUMPUR 20 Jan 2010 - Mula-mula pelakon Eja, kemudiannya model terkenal, Zahnita Wilson bertindak menyaman syarikat Gulatis Exclusive Sdn. Bhd. (Gulatis).

Hari ini syarikat tekstil ternama itu disaman pula oleh pelakon juga model terkenal, Tony Eusoff dan Diana Johor untuk menuntut ganti rugi RM500,000 setiap seorang kerana didakwa menggunakan gambar mereka tanpa kebenaran rasmi bagi tujuan promosi.

Kedua-dua artis tersebut merupakan individu ketiga dan keempat setakat ini yang mengambil tindakan undang-undang ke atas Gulatis yang dinamakan sebagai defendan.

Mereka memfailkan writ saman tersebut melalui firma guaman Tetuan A.R. Effande di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini pada pukul 2.15 petang ini.

Tony atau nama sebenarnya Anthony Joseph anak Hermas Rajiman, 33, dinamakan sebagai plaintif pertama dan Diana yang nama penuhnya Diana Johor Zainal Abidin, 29, plaintif kedua.

Tony dan Diana dalam pernyataan tuntutan menyatakan, rakan-rakan telah memaklumkan bahawa gambar mereka dipamerkan di hadapan premis perniagaan Gulatis di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini.

Walhal dakwa plaintif, sepanjang pengetahuan mereka, defendan tidak pernah memohon kebenaran rasmi untuk menggunakan imej kedua-duanya sebagai model bagi mengiklankan perniagaan Gulatis.

Empat hari selepas menerima maklumat itu, plaintif telah pergi ke premis perniagaan defendan untuk membuat pemeriksaan pada 28 September 2008.

Plaintif mendapati imej mereka telah disalahgunakan serta dipamerkan sebagai model di kain rentang (bunting) di depan bangunan defendan.

Plaintif mendakwa mereka juga dimaklumkan oleh beberapa rakan bahawa defendan telah menyalahgunakan gambar tersebut untuk mempromosikan perniagaan di seluruh Malaysia sejak September 2008 sehingga kini.

Akibat tindakan yang didakwa sebagai tidak bertanggungjawab itu, plaintif merasakan hak peribadi mereka telah diceroboh dan disalahgunakan demi kepentingan defendan tanpa membuat sebarang bayaran.

Plaintif mendakwa, memandangkan kerjaya mereka bergantung kepada hasil penampilan dan penggunaan wajah telah menyebabkan mereka mengalami kerugian wang ringgit.

Pada 19 Februari tahun lalu, plaintif melalui peguam cara mereka telah menghantar notis tuntutan kepada defendan untuk menuntut ganti rugi tetapi sehingga kini Gulatis enggan membayarnya.

Selain ganti rugi am RM500,000 setiap seorang, plaintif menuntut ganti rugi teladan, faedah pada kadar lapan peratus setahun, kos dan perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Selain membintangi filem Sepi, Tony pernah terlibat dalam pementasan teater seperti Bangsawan Naga Chini, Broken Bridges The Musical (2006) The Girl From Ipoh (2005), Electronic City (2005), Encore! (2005) dan Jalan Impian (2005).

Aktor dan model kacak ini turut aktif dalam bidang peragaan pentas dan majalah. Dia turut menjayakan iklan komersial pelbagai produk tempatan dan luar negara.

Manakala Diana dikenali menerusi drama Sembilu dan filem Sembilu 2005.

Pada 11 Disember tahun lalu iaitu dua hari selepas diperintahkan membayar ganti rugi RM20,000 kepada Eja atau nama sebenarnya, Siti Shahrizah Saifuddin, 37, syarikat tekstil tersebut berdepan pula dengan tuntutan saman RM2 juta oleh Zahnita, 24.

Model yang juga pelakon kacukan New Zealand dan Melayu itu menyaman Gulatis kerana didakwa menggunakan gambarnya dalam semua bentuk iklan untuk kepentingan perniagaan tanpa persetujuan dan keizinannya.

No comments:

Post a Comment