Saturday, January 16, 2010

JPJ Muar menyamar kesan kereta sapu haram

MUAR 16 Jan 2010 - Operasi samaran yang dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cawangan Muar akhir tahun lalu berjaya mengesan kegiatan kereta sapu haram yang beroperasi di daerah ini.

Ketuanya, Azmil Zainal Adnan berkata, setakat ini empat buah kereta telah disita kerana melakukan kesalahan tersebut.

"Kereta sapu yang kami sita terdiri daripada Proton Iswara, Proton Wira dan van.

"Kesemua pemandu itu berusia dalam lingkungan 40-an. Mereka disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, pemandu itu boleh didenda tidak kurang RM1,000 atau tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih setahun.

Azmil berkata, siasatan mendapati teksi sapu itu menyasarkan warga asing sebagai pelanggan mereka.

"Kegiatan itu dilakukan sebagai sumber pendapatan sampingan. Antara lokasi popular adalah di bandar Maharani, Bakri dan Sungai Terap," katanya.

Katanya, caj dikenakan lebih tinggi daripada teksi biasa, namun ia kerap kali digunakan kerana pemandunya tidak memilih dan sanggup ke lokasi terpencil.

Beliau turut mengingatkan pengguna bahawa perkhidmatan kereta sapu tidak dilindungi insurans.

No comments:

Post a Comment