Thursday, January 21, 2010

Urusan pindah hak milik tanah secara tipu diisytihar tidak sah

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali
PUTRAJAYA: Kontroversi berhubung kesahihan urusan pemindahan hak milik tanah secara penipuan yang mencetuskan kebimbangan ramai pihak, semalam berakhir apabila Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan transaksi sedemikian tidak sah.

Keputusan itu, sekali gus mengetepikan keputusan mahkamah sama sembilan tahun lalu yang memberi hak kepada pemilik berdaftar dalam geran tanah, walaupun dokumen dalam proses pemindahan nama hak milik itu dipalsukan.

Berikutan keputusan itu, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi perlu mengguna pakai prinsip undang-undang yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan itu ketika membuat keputusan masing-masing dalam kes yang mempunyai persamaan.



Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi yang bersidang bersama empat panel hakim Mahkamah Persekutuan

semalam mendapati keputusan mahkamah sama pada 2001 dalam kes Adorna Properties lawan Boonsoom Boonyanit @ Sun Yok Eng adalah salah.

Keputusan kes Adorna Properties itu mendapat reaksi negatif daripada pemilik tanah, pengamal undang-undang dan ahli akademik kerana ia membuka laluan kepada pihak tidak bertanggungjawab mendapatkan tanah secara tipu dengan memalsukan dokumen.

Panel Mahkamah Persekutuan ketika itu yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Eusoff Chin, mentafsirkan peruntukan Kanun Tanah Negara melindungi pembeli hartanah, walaupun nama pada geran tanah dipalsukan menyebabkan pemilik asal tidak boleh berbuat apa-apa.

Impak daripada prinsip yang diguna pakai dalam kes Adorna Properties itu memberikan hak kepada pemilik berdaftar dalam geran tanah walaupun dokumen dalam proses pemindahan hak milik itu dipalsukan.

Zaki yang membacakan keputusan semalam, bagaimanapun berkata, mahkamah bertanggungjawab menjelaskan semula peruntukan undang-undang kerana kesilapan penghakiman kes Adorna Properties adalah jelas dan ketara.

"Berdasarkan fakta yang diketahui, ramai pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan daripada kesalahan ini dengan memindahkan hak milik tanah kepada diri mereka sendiri secara tipu.

"Saya berharap dengan keputusan ini, pihak berkuasa tanah akan lebih berhati-hati apabila mendaftarkan pemindahan penama hak milik tanah," katanya.

Keputusan itu juga dipersetujui sebulat suara oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin dan Datuk James Foong Cheng Yuen.

Arifin pula berkata, panel hakim 2001 membuat tafsiran Seksyen 340 (1), (2) dan (3) Kanun Tanah Negara dan dengan itu membuat kesimpulan yang salah.

Katanya, tafsiran yang diguna pakai oleh panel sebelum itu jelas bercanggah dengan niat sebenar Parlimen dan kesalahan itu perlu diperbetulkan demi kepentingan semua pemilik tanah berdaftar.

Di luar mahkamah, Ketua Bahagian Sivil di Pejabat Peguam Negara See Mee Chun, berkata keputusan semalam menyelesaikan isu yang mencetuskan kontroversi sejak sembilan tahun lalu.

Katanya, Pejabat Peguam Negara juga sedang mengkaji aspek lain termasuk meminda Kanun Tanah Negara untuk memberikan perlindungan lebih baik kepada pemilik tanah berdaftar.

Peguam pemerhati bagi Majlis Peguam, Roger Tan, berkata dengan keputusan itu, pemilik tanah akhirnya mendapat jaminan yang hartanah mereka akan lebih selamat.

Beliau berharap mahkamah lebih rendah akan mengguna pakai prinsip baru itu apabila menghakimi kes pertikaian membabitkan tanah.

Penghakiman semalam berdasarkan rujukan semula prinsip kes Adorna Properties yang dibangkitkan dalam rayuan membabitkan ahli perniagaan, Tan Ying Hong dan Cini Timber Industries Sdn Bhd dan United Malayan Banking Corporation Bhd.

Tan adalah pemilik berdaftar tanah seluas 3.6 hektar di Kuantan, Pahang, tetapi tanah itu dicagarkan oleh seorang individu yang tidak dapat dikesan kepada United Malayan Banking (kini RHB Bank Bhd) dengan memalsukan surat kuasa wakil bagi pihak Tan untuk mendapatkan pinjaman RM300,000 bagi Cini Timber Industries.

Cini Timber gagal membayar pinjaman dan bank memulakan prosiding merampas harta daripada Tan sebagai pemilik tanah berdaftar. Tan kemudian mengambil tindakan undang-undang untuk memohon pengisytiharan caj oleh bank itu tidak terpakai kerana mereka menggunakan surat kuasa wakil yang dipalsukan, tetapi tuntutannya ditolak Mahkamah Tinggi pada 2003.

Beliau membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

No comments:

Post a Comment