Monday, January 25, 2010

Seludup minyak berkurangan

ALOR SETAR 25 Jan 2010 - Penguatkuasaan yang ketat di kawasan sempadan negara membuatkan aktiviti penyeludupan minyak diesel dan petrol dapat dikurangkan sehingga 50 peratus.

Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna, Mohd. Roslan Mahayudin berkata, kadar penjualan minyak di kawasan sempadan Bukit Kayu Hitam di sini kepada orang asing juga dapat dikawal.

"Kita sudah menempatkan pegawai penguat kuasa kita di kawasan sempadan di sini untuk memastikan minyak diesel dan petrol dijual mengikut arahan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

"Dulu sebelum arahan larangan penjualan petrol dan diesel kepada kenderaan asing, ada stesen minyak di Bukit Kayu Hitam mencatatkan penjualan sehingga 600,000 liter dalam masa sebulan namun kini jumlah jualan berkurangan," ujarnya di sini hari ini.

Bermula 16 Disember 2009 kerajaan melaksanakan arahan larangan penjualan minyak petrol dan diesel melebihi 20 liter kepada kenderaan yang tidak didaftarkan di negara ini.

Arahan ini merangkumi semua stesen minyak dalam lingkungan 50 kilometer dari sempadan negara.

Menurut Mohd. Roslan, setiap hari seramai 20 anggota terlibat dalam aktiviti pemantauan di semua stesen minyak di kawasan sempadan Bukit Kayu Hitam di sini.

"Sehingga kini sebanyak 1,026 stesen minyak telah diperiksa oleh pegawai penguat kuasa kami meliputi semua stesen dalam lingkungan 50 kilometer dari sempadan negeri ini.

"Pihak kami juga memeriksa 4,094 kenderaan dan kami telah mengambil tindakan ke atas dua stesen minyak yang didapati mengingkari arahan pegawai penguatkuasa," katanya.

No comments:

Post a Comment