Thursday, January 21, 2010

Pusat karaoke bakal berdepan denda RM56 juta

KUALA LUMPUR 21 Jan 2010 - Seorang pemilik pusat karaoke di sini, pasti tergamam apabila mendapat tahu dia bakal berdepan denda RM56 juta akibat memiliki salinan lagu karaoke untuk tujuan perniagaan tanpa kebenaran hak cipta.

Malah dia juga boleh dipenjara lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 41(1)(i) Akta Hak Cipta 1987.

Nilai denda itu mungkin tidak masuk akal tetapi hakikatnya, menurut tafsiran seksyen tersebut, denda yang akan dikenakan ke atas setiap lagu cetak rompak adalah RM2,000.

Siasatan mendapati pusat karaoke milik lelaki berusia 45 tahun itu dikatakan beroperasi dengan menggunakan 28,353 buah lagu pelbagai tajuk dan bahasa.

Hasil pemeriksaan kesemuanya tidak mendapat kebenaran hak cipta daripada pihak berwajib iaitu Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Badan Persembahan Awam Malaysia Sdn. Bhd. (PPM).

Ketua Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan, Othman Nawang berkata, kegiatan pusat karaoke yang terletak di Taman Permaisuri, Cheras itu terbongkar dalam satu serbuan malam kelmarin.

Menurut beliau, serbuan yang dilakukan sepasukan 12 pegawai pasukan khas hak cipta itu terdiri daripada gabungan KPDNKK, RIM dan PPM.

"Kami telah merampas kesemua set peralatan karaoke di premis itu bernilai kira-kira RM100,000 dan menahan seorang lelaki yang merupakan pemilik untuk disoal siasat.

"Meskipun pihak berkuasa memberikan amaran keras kepada premis-premis perniagaan, namun banyak lagi tidak mengendahkannya," katanya pada sidang akhbar di pejabat KPDNKK Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Tegas Othman, pihaknya bersama RIM dan PPM akan terus menjalankan serbuan-serbuan seumpama itu dalam usaha membendung kegiatan rompak.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RIM dan PPM, Tan Ngiap Foo yang juga hadir pada sidang akhbar memberitahu, pemilik karaoke boleh mengelak dari tindakan undang-undang sekiranya ada mendapat kebenaran hak cipta daripada pihaknya.

"Bayaran salinan hak cipta yang dikenakan setiap lagu tidak mahal, hanyalah RM3 setiap lagu setahun.

"Dia sepatutnya hanya mengeluarkan kira-kira RM90,000 untuk perniagaannya itu, tetapi kini padah akibat keengganannya itu, dia mungkin berdepan denda jutaan ringgit," jelasnya,

Tambah Ngiap Foo, tinjauan pihaknya turut mendapati kira-kira 3,000 premis hiburan di seluruh negara melakukan kesalahan sama.

"Kerugian yang dialami industri muzik untuk lagu karaoke sahaja mencecah RM60 juta setahun. Kami akan membuat laporan kepada kerajaan dalam tempoh terdekat," jelasnya.

No comments:

Post a Comment