Saturday, January 16, 2010

Pusat nyanyian kanak-kanak jadi karaoke

KUALA LUMPUR 16 Jan 2010 - Di depan premisnya tertera papan tanda menunjukkan ia sebuah pusat nyanyian khusus untuk mengajar kanak-kanak menyanyi.

Namun kekerapan bunyi bising suara orang dewasa menyanyi menimbulkan curiga kepada penduduk sekitar premis itu lalu melaporkan kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Kecurigaan mereka ternyata berasas apabila serbuan MPAJ di premis yang terletak di Taman Seraya, Ampang dekat sini, pada pukul 10 malam tadi, mendapati ia disalahgunakan untuk menjalankan karaoke haram.

Menurut Penolong Pegawai Penguatkuasa MPAJ, Rosli Jaafar, premis itu hanya dibenarkan untuk beroperasi sebagai sebuah pusat nyanyian kanak-kanak.

"Namun lesen tersebut telah disalahgunakan oleh pemilik premis itu untuk menjalankan perniagaan karaoke.

"Oleh itu, pemilik premis tersebut telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Selangor 1995 Pindaan 2001 kerana menjalankan perniagaan karaoke tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan.

"Jika disabitkan kesalahan mereka boleh dikenakan kompaun maksimum RM25,000," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas operasi di premis itu malam tadi.

Rosli berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut merampas kerusi, meja, peralatan audio, televisyen dan minuman keras dari premis tersebut.

Selain premis berkenaan, beliau berkata, pihaknya turut membongkar kegiatan perjudian haram di sebuah kafe siber di tingkat bawah bangunan sama.

"Pemilik kafe siber itu telah melakukan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pusat Siber dan Kafe Siber MPAJ 2007 apabila beroperasi tanpa lesen.

"Ia juga didapati menjalankan kegiatan perjudian haram," katanya sambil memberitahu 15 unit komputer turut dirampas dari premis berkenaan.

Terdahulu, Rosli bersama 24 pegawai dan anggotanya turut menyerbu sebuah pusat hiburan di Taman Kencana, Ampang kerana beroperasi tanpa lesen.

Beliau berkata, serbuan itu adalah kali ketiga ke atas pusat hiburan tersebut sejak ia beroperasi Disember lalu.

Katanya, pusat hiburan itu telah dua kali dikenakan kompaun tetapi pemiliknya masih berdegil enggan menutup operasi menyebabkan MPAJ terpaksa bertindak menyita semua barang-barang di situ.

No comments:

Post a Comment