Tuesday, January 12, 2010

Perniagaan teras Alliance Bank kukuh

Oleh Azli Ayob
azliayob@bharian.com.my
ALLIANCE Bank Malaysia Bhd menegaskan bahawa siasatan dalaman terhadap Ketua Eksekutif Kumpulan-nya, Datuk Bridget Lai yang turut disertai juruaudit luar berkecuali tidak membabitkan perkara yang berkaitan perniagaan teras bank itu atau transaksi pelanggan.

“Siasatan dalaman itu adalah satu prosedur tadbir urus korporat dan ia adalah tanggungjawab yang harus dijalankan lembaga pengarah. Perniagaan bank ini masih berjalan seperti biasa,” kata Pengerusinya, Datuk Thomas Mun Lung Lee.

Mun pada sidang media menjelaskan isu siasatan itu di Kuala Lumpur semalam berkata, ia juga juga tidak memberikan kesan kepada kedudukan kewangan bank berkenaan, atau memerlukannya membuat sebarang peruntukan kewangan tambahan.



“Perkara yang disiasat Lembaga Pengarah juga tidak ada kaitan dengan sebarang siasatan daripada pihak polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Pada sidang media itu, Mun turut menegaskan bahawa Lai masih bersama bank itu dan ketika ini sedang bercuti bagi membolehkan siasatan dijalankan ke atasnya.

“Memandangkan perkara yang disiasat membabitkan ketua eksekutif sama ada secara langsung atau tidak langsung, Lai telah bercuti secara sukarela sepanjang tempoh siasatan dijalankan bagi memudahkan siasatan,” katanya sambil menambah siasatan itu akan mengambil masa antara dua hingga tiga minggu.

Mun berkata, tempat Lai kini dipangku buat sementara oleh Ketua Perbankan Korporat Alliance Bank, Choo Joon Keong.



Awal minggu lalu, media tempatan melaporkan Lai sudah meletakkan jawatan sebagai Ketua Eksekutif Kumpulan Alliance Bank berhubung beberapa siasatan dalaman ke atasnya.

Beliau bagaimanapun menafikan perkara itu. Lembaga pengarah Alliance Bank dalam satu kenyataan berasingan juga mengesahkan Lai tidak meletakkan jawatan tetapi menambah bahawa satu siasatan dalaman sedang dijalankan ke atas Lai.

Berikutan laporan itu juga harga saham Alliance Financial Group Bhd, pemilik Alliance Bank pada sesi dagangan tengah hari Selasa lalu jatuh ke paras terendahnya sejak November 2009 kepada RM2.50.

No comments:

Post a Comment