Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 20 Jan 2010 – Seorang pegawai khas dan setiausaha sulit ahli politik antara 34 orang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan nilai suapan RM280,000 dalam kes penyeludupan pasir di beberapa negeri.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Mohd. Shukri Abdull berkata, suapan tersebut turut melibatkan tiga kes rasuah seks bertujuan memudahkan proses permohonan dan kelulusan mendapatkan pasir.
Menurut beliau, setiap individu yang terlibat didakwa menerima nilai suapan di antara RM500 sehingga RM50,000.
“Daripada jumlah tangkapan, 24 daripadanya melibatkan kakitangan kerajaan termasuk lima pegawai kanan.
“Tangkapan yang dibuat semalam dan hari ini juga melibatkan lima orang awam dan tiga pekerja swasta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Salah seorang yang ditahan hari ini ialah Hussein Ahmad yang bertugas sebagai setiausaha sulit kepada Exco kerajaan Selangor, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah melibatkan kelulusan kontrak perlombongan pasir dan lawatan ke China baru-baru ini.
Menurut Mohd. Shukri, tangkapan tersebut hasil kerjasama orang ramai yang menyalurkan sejumlah 410 maklumat.
Dalam pada itu, kata beliau, salah seorang yang ditahan dalam kes penyeludupan pasir tersebut telah didakwa di sebuah mahkamah di Perak hari ini.
Jika disabitkan kesalahan, individu berkenaan boleh didenda sebanyak RM30,000 dan penjara tidak melebihi lima bulan.
Mengulas lanjut mengenai tangkapan 34 orang tersebut, Mohd. Shukri memberitahu, ketika tangkapan di Selangor hari ini, pegawai SPRM menghadapi halangan untuk melakukan tugas mereka.
Setiausaha Kerja Exco Selangor antara 34 orang ditahan SPRM dalam serbuan besar-besaran kes curi, seludup pasir di lima negeri
PUTRAJAYA: Setiausaha kerja seorang Exco Selangor dan setiausaha sulit seorang ahli politik adalah antara 34 orang yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima sogokan serta rasuah seks berhubung kes mencuri dan menyeludup pasir di lima negeri.
Penahanan besar-besaran itu dibuat dalam beberapa siri operasi kelmarin dan semalam hasil risikan, intipan, pemantauan dan pemerhatian sejak April tahun lalu berikutan 410 maklumat awam yang diterima SPRM.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Shukri Abdull, berkata selain dua pegawai ahli politik, turut ditahan 24 kakitangan awam yang sebahagiannya pegawai dan ketua jabatan, lima orang awam dan tiga kakitangan swasta.
Dalam operasi itu, SPRM juga merampas wang tunai kira-kira RM50,000 dan beberapa dokumen.
Beliau mengesahkan pasir yang dicuri itu diseludup ke negara jiran.
Shukri berkata, seorang kakitangan kerajaan sudah didakwa di Ipoh, kelmarin, berhubung kes itu.
Katanya, siasatan mendapati setiap individu terbabit dipercayai menerima sogokan antara RM500 hingga RM50,000 termasuk ada yang mendapat wang secara bulanan dan tiga membabitkan rasuah seks.
Beliau berkata, sindiket mencuri dan menyeludup pasir di lima negeri itu dikatakan membabitkan sogokan lebih RM280,000, selain rasuah seks.
Shukri enggan mendedahkan lima negeri terbabit, tetapi difahamkan kes berkenaan berlaku di Johor, Pahang, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.
“Operasi masih berjalan dan SPRM menjangka akan ada lagi beberapa tangkapan dan saya berharap orang ramai memberi kerjasama.
"Saya tidak ada jumlah (akan ditahan) tetapi dijangka ramai lagilah... ada kemungkinan (pangkat) tinggi lagi, tunggu, sabar dan lihat," katanya pada sidang media di sini, semalam.
Difahamkan, dua daripada 24 kakitangan awam ditahan itu adalah ketua jabatan kerajaan di Selangor.
Shukri juga merujuk kepada ketegangan yang berlaku di Shah Alam, semalam, apabila pegawainya dihalang daripada menahan seorang individu yang bekerja dengan ahli politik.
Semua 34 individu itu disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.
“Rasuah itu untuk memproses permohonan mengeluarkan pasir, mempercepatkan permohonan pengeluaran pasir dan tidak mengambil tindakan ke atas (kegiatan) pasir yang dibawa keluar tanpa permit,” katanya.
Beliau enggan menjelaskan mengenai rasuah seks, tetapi meminta media menunggu sehingga perbicaraan.
Shukri berkata, sebahagian daripada mereka yang ditahan dibebaskan selepas diambil keterangan manakala bakinya masih ditahan untuk disoal siasat.
Terdahulu, di SHAH ALAM, Setiausaha Kerja kepada Exco Selangor ditahan pegawai suruhanjaya itu di pejabat wakil rakyat berkenaan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, bagi membantu siasatan.
Beliau dibawa sepasukan lima pegawai SPRM diketuai Superintendan Prem Raj Victor ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya jam 3.30 petang, diiringi Exco itu dan peguam dilantik kerajaan negeri.
Exco itu yang ditemui mengesahkan pegawai SPRM mengambil tiga dokumen berkaitan profil sebuah syarikat melombong pasir dan dokumen lawatan ke China.
Di IPOH, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM30,000 ke atas pembantu am rendah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ipoh yang mengaku salah menerima suapan RM6,000 untuk kelulusan mengeluarkan pasir Sungai Menora, Mukim Sayong di Kuala Kangsar, Perak.
Noorazhar Azlan, 48, dituduh melakukan perbuatan itu di Dulang Coffee House, Hotel Excelsior di sini, jam 12.15 tengah hari, 15 Januari lalu.
Hakim Tan Hooi Leng dalam keputusannya berkata, tertuduh melakukan kesalahan keji dan boleh memberi kesan bukan saja kepada dirinya, tetapi masyarakat umum.
Bagaimanapun, katanya, individu itu berjaya ditahan dan dibawa ke ibu pejabat suruhanjaya di sini selepas perbincangan lebih sejam dengan peguamnya.
“Justeru, hukuman ini adalah mesej kepada diri kamu (tertuduh) dan juga orang lain," katanya.
SPRM tahan 34 didakwa rasuah pasir, habuan seks
Jan 20, 10 6:02pm
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menangkap 34 orang, termasuk 24 kakitangan kerajaan dan dua pembantu ahli politik, kerana didakwa terbabit dalam rasuah eksport pasir.
Jumlah rasuah terbabit melebihi RM280,000 dan habuan seks. Mereka ditahan di lima negeri sejak seminggu lalu.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Shukri Abdull memberitahu demikian dalam satu sidang akhbar di ibupejabat suruhanjaya itu di Putrajaya.
Menurutnya, SPRM telah menjalankan siasatan terhadap kes tersebut sejak bulan April tahun lalu selepas mendapat maklumat dari orang ramai.
Shukri berkata, kakitangan kerajaan yang ditangkap termasuk pegawai kanan dan ketua jabatan, tetapi beliau tidak menyatakan nama-nama jabatan terbabit kerana masih ada tangkapan yang akan dibuat.
Ditanya mengenai profail mereka, beliau berkata, pegawai-pegawai tertinggi mungkin terbabit tetapi enggan mendedahkan sama ada mereka merupakan ahli-ahli politik.
Shukri juga enggan mengulas apabila ditanya sama ada seorang pembantu politik yang ditahan hari ini ialah Hussein Ahmad, yang merupakan setiausaha kerja exco kerajaan Selangor, Yaakob Sapari.
Shukri juga ditanya mengenai Hussein Ahmad, setiausaha kerja exco kerajaan Selangor, Yaakob Safari yang ditahan hari ini.
"Hussein belum dibebaskan lagi kerana kita masih perlu merakamkan kenyataannya," kata Shukri.
Katanya, individu yang terbabit dalam sindiket jualan pasir masing-masing menerima RM500 hingga RM50,000, dengan sesetengahnya menerima rasuah secara bulanan. Tiga individu juga menerima habuan seks.
Shukri berkata, rasuah diberikan untuk mempercepatkan permohonan mendapatkan pasir dan tidak melaporkan perbuatan penyeludupan pasir ke negara jiran.
Menurutnya, SPRM telah merampas sejumlah RM50,000 dari individu-individu dan dokumen bagi menyokong siasatan terhadap mereka yang terbabit.
Wednesday, January 20, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment