Sunday, January 24, 2010

Wanita percaya nasib malang rugi RM260,000

KUALA LUMPUR 24 Jan 2010 - Gara-gara mudah percaya terhadap nasib malang yang mungkin menimpa dirinya, seorang ibu tunggal kerugian hampir RM260,000 apabila ditipu tiga wanita, Isnin lalu.

Kejadian bermula pada pukul 11 pagi, ketika mangsa, Lee Yoke Chan, 61, hendak ke sebuah pasar di Cheras untuk membeli kelengkapan harian.

Tiba-tiba dia didatangi oleh seorang wanita yang meminta menunjukkan lokasi tokong berdekatan di kawasan itu.

Mangsa yang tidak bekerja bersetuju membawa wanita terbabit ke tokong tersebut dengan berjalan kaki.

Menurut Yoke Chan, sambil berjalan, wanita itu telah bertanyakan tentang latar belakang dirinya dan keluarga.

"Dalam perjalanan ke tokong itu, datang lagi dua wanita yang kononnya mahu ke lokasi sama," katanya ketika ditemui di Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini hari ini.

Katanya, namun apa yang mengejutkan, dua wanita itu seolah-olah mengetahui tentang dirinya dan keluarga.

Tambahnya, mereka mendakwa dia mempunyai nasib malang dan perlu berjumpa seseorang untuk membuangnya.

"Saya perlu berjumpa 'sifu' itu dan memberi semua wang simpanan serta barang kemas sebagai cagaran untuk upacara buang nasib malang.

"Mereka mendakwa, saya dan keluarga akan ditimpa malang termasuk mati jika enggan berbuat demikian," katanya.

Difahamkan, wanita pertama telah memasang alat pendengar yang dihubungkan kepada dua rakannya itu supaya boleh mendengar perbualannya.

Yoke Chan berkata, dia yang ketakutan telah mengikut arahan mereka dan mengeluarkan wang sebanyak RM186,565 dari dua buah bank dan barang kemas RM70,000 seperti rantai dan gelang tangan.

Tambahnya, bagaimanapun ketika ingin menyerahkan wang, sifu terbabit tidak dapat berjumpa dengannya tetapi telah menyediakan beberapa jampi dan air suci untuk dia minum.

"Seorang suspek membawa saya ke but keretanya dan menyimpan wang serta barang kemas di dalamnya.

"Suspek kemudian memberikan saya air jampi yang diisi di dalam beg tetapi tidak boleh dibuka sebelum keesokannya," ujarnya.

Katanya, dia yang curiga telah membuka beg itu pada pukul 3 pagi keesokannya dan terkejut apabila mendapati ia mengandungi dua botol air mineral, tiga biji limau dan dua plastik garam.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, orang awam diminta berwaspada dengan kumpulan itu kerana modus operandi mereka menggunakan kaedah psikologi.

Katanya, sejak 2004, pihaknya menerima sebanyak 14 kes penipuan seumpama itu yang membabitkan kerugian lebih RM1 juta.

No comments:

Post a Comment