Sunday, January 17, 2010

Kastam rampas 7 tan mercun, bunga api

KUALA TERENGGANU 17 Jan 2010 - Sambutan Tahun Baru Cina masih jauh lagi namun sudah ada yang cuba mengambil kesempatan untuk menyeludup mercun.

Cubaan itu bagaimanapun gagal apabila berjaya dihidu oleh kastam.

Hasilnya mercun dan bunga api seberat tujuh tan dengan anggaran nilai RM346,000 termasuk cukai berjaya dirampas di Ladang Cerul, Sri Bandi, Kemaman.

Pengarah Kastam Terengganu, Datuk Azis Yacub berkata, mercun dan bunga api itu bernilai RM210,000 sementara cukainya berjumlah RM136,000.

Katanya, semuanya dirampas dalam satu operasi kira-kira pukul 3 pagi tiga hari lalu, hasil maklumat orang ramai.

"Kita berjaya menemui sebuah lori berisi barang larangan berkenaan bagaimanapun pemiliknya gagal ditemui.

"Kita percaya mercun dan bunga api itu diseludup dari negara jiran untuk dipasarkan sekitar Kuantan, Kuala Terengganu, Kuala Lumpur dan Selangor sempena Tahun Baru Cina ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, sehingga kini suspek masih belum ditemui bagaimanapun hasil pemeriksaan mendapati lori berkenaan didaftarkan di Sungai Buluh, Selangor.

Ujarnya, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 iaitu terlibat dalam mengangkut barang-barang larangan.

Dalam pada itu, Azis turut memaklumkan tentang kejayaan merampas sebuah kenderaan pelbagai jenis guna jenis Honda Odyssey lima hari lalu yang menggunakan nombor pendaftaran negara jiran.

Katanya, kenderaan yang bernilai RM38,000 itu disita di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Kuala Terengganu kerana disyaki diseludup.

Katanya lagi, pihak kastam turut menahan seorang lelaki Melayu berusia 32 tahun bagi membantu siasatan tersebut yang melibatkan jumlah cukai bernilai RM64,410.

Selain itu, pada 11 Januari lalu, kastam turut berjaya menyita sebuah kereta jenis Mitsubishi Galant yang terlibat dalam kes sama.

"Siasatan awal mendapati kereta tersebut diseludup dari sebuah negara jiran dan seorang lelaki Melayu berusia 22 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

"Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 iaitu terlibat dalam mengangkut barang-barang larangan," katanya.

No comments:

Post a Comment