Tuesday, January 26, 2010

Taktik baru seludup kenderaan tumpas

PADANG BESAR 26 Jan. - Segelintir penyeludup percaya kononnya waktu yang paling sesuai untuk keluar masuk membawa barangan seludup adalah ketika pintu pagar sempadan hendak ditutup.

Bagi mereka, ketika itu, pihak penguatkuasa hanya melakukan pemeriksaan secara lewa dan ketika itulah peluang terbaik untuk membawa keluar atau masuk barangan seludup.

Namun, apa yang berlaku di Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Wang Kelian dekat sini baru-baru ini membuktikan, pasukan keselamatan di sempadan tanah air bersungguh-sungguh membanteras kegiatan itu.

Seorang lelaki yang cuba membawa kenderaan mewah jenis Toyota Wish ke negara jiran, gagal apabila dia ditahan, kira-kira pukul 6 petang pada Khamis lalu.

Dalam kejadian tersebut, lelaki tempatan berusia 28 tahun itu memandu kenderaan berkenaan melalui Kompleks CIQ Wang Kelian kerana menyangka polis dan pihak Imigresen akan membuat pemeriksaan ringkas.

Namun, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supritendan Che Man Md. Dros berkata, taktik lelaki berasal dari Kedah yang menjalankan perniagaan sendiri itu gagal apabila dia ditahan setelah gagal menunjukkan dokumen kenderaan yang dipandunya.

"Kita mendapati, kenderaan tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu, iaitu nombor pendaftaran sebuah kenderaan jenis Toyota Corona," katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya juga mendapati nombor enjin dan casis kenderaan tersebut telah dipinda.

Che Man berkata, taktik penyeludup kenderaan itu memakan diri kerana polis tetap memeriksa dengan teliti setiap kenderaan yang keluar masuk apatah lagi kenderaan mewah.

Katanya, suspek yang disiasat di bawah Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin, baru-baru ini.

Che Man berkata, kes berkenaan merupakan kes penyeludupan kenderaan pertama bagi tahun ini manakala pada tahun lalu, sebanyak lapan kes penyeludupan kenderaan dikesan di pintu masuk Wang Kelian.

No comments:

Post a Comment