Saturday, January 16, 2010

Sindiket jual permaidani palsukan dokumen dikesan (17/1/10)

BINTULU: Taktik sindiket memalsukan dokumen perjalanan dengan berselindung di sebalik kegiatan menjual kain dan permaidani terbongkar selepas pihak berkuasa berjaya menahan dua ahli kumpulan berkenaan bersama peralatan pemalsuan.

Ketua Jabatan Imigresen Bintulu, Kamoral Johari, berkata dua lelaki warga negara Pakistan berusia 32 dan 36 tahun itu, ditahan di sebuah rumah di Taman Bandar Jaya, awal pagi kelmarin, selepas pemantauan dilakukan sejak dua hari lalu.

Katanya, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan menawarkan perkhidmatan melanjutkan permit kerja warga asing yang masuk ke negeri ini dengan melakukan pemalsuan pada dokumen perjalanan.



"Mereka mempunyai pelbagai cop rasmi Jabatan Imigresen seperti cop penyambungan had tempoh pekerja asing serta cop keluar masuk dari Singapura, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sungai Tujuh, Miri.

"Malah sindiket ini turut mempunyai cop kemasukan visa yang menyerupai cop milik Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad, Pakistan. Kita mengesyaki kumpulan ini mempunyai rangkaian antarabangsa," katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Difahamkan, sindiket berkenaan menjadikan pekerja warga asing di negeri ini sebagai pelanggan utama dengan menawarkan pelbagai 'perkhidmatan' melanjutkan tempoh permit kerja bertujuan mengaburi pihak berkuasa.

Turut dirampas dalam serbuan berkenaan cop Pas Lawatan Sosial, lesen memandu antarabangsa Pakistan palsu, empat buku resit MyKad Jabatan Pendaftaran Negara, lesen memandu Malaysia palsu serta kad permit kerja.

Kamarol berkata, berikutan itu pihaknya akan melakukan pemantauan lebih ketat ke atas pekerja asing yang disyaki sudah mendapatkan perkhidmatan tidak sah itu berdasarkan rekod komputer milik jabatan.

"Pemeriksaan lebih ketat akan dilakukan ke atas pekerja asing selepas ini. Kita akan berusaha mengesan individu yang sudah memalsukan dokumen atau permit yang dikeluarkan berdasarkan sistem data sedia ada.

"Memang akan berlaku percanggahan berikutan setiap urusan melanjutkan tempoh permit kerja atau kemasukan mempunyai rekod sebelum cop akan diturunkan dengan dua individu yang ditahan turut akan disiasat lebih lanjut," katanya.

Beliau berkata, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959 dan Akta Pasport 1966 dengan suspek kini ditahan sebelum dijangka dihadapkan ke mahkamah minggu hadapan.

No comments:

Post a Comment