Saturday, January 16, 2010

7 lesen pemborong gula dibatal sejak September (17/1/10)

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
bminggu@bharian.com.my
Pengedar sorok bekalan dengan harapan harga dinaikkan lagi

KUALA KANGSAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sudah membatalkan tujuh lesen pemborong gula di seluruh negara sejak September lalu kerana menyorok bekalan bahan berkenaan.

Timbalan Menterinya, Datuk Tan Lian Hoe, berkata tindakan itu diambil kerana perbuatan mereka mengakibatkan kekurangan stok gula di beberapa wilayah dan menyebabkan pengguna membeli disebabkan panik.



Beliau berkata, pihaknya tidak teragak-agak menarik lesen pemborong lain jika masih ada yang berdegil dengan menyorok bekalan selepas kementerian mengumumkan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen berkuat kuasa 1 Januari lalu.

"Selepas harga gula dinaikkan, masih ada pemborong enggan menghantar bekalan kepada peruncit kerana mereka menjangka harga akan dinaikkan lagi. Kita tidak bercadang menaikkan lagi harga gula dan meminta pemborong terus menghantar bekalan.

"Tindakan pemborong ini bukan saja menyebabkan kekurangan bekalan di sesetengah tempat, tetapi mengakibatkan pengguna membeli kerana panik selepas berita kekurangan gula disiarkan media," katanya.

Tan berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan mengejut ke beberapa pasar raya sekitar Kuala Kangsar bagi meninjau bekalan dan harga gula, semalam.

Katanya, pembatalan lesen pemborong tidak akan dikaji semula kerana mereka sudah diberi amaran berkali-kali oleh kementerian berkenaan supaya menghentikan tindakan menyorok bekalan gula.

"Memang ada rayuan dibuat oleh pemborong berkenaan kepada kementerian, tetapi kita tidak akan memperbaharui lesen itu sebab mereka enggan mematuhi peringatan yang dikeluarkan berkali-kali sebelum ini," katanya.

Tan berkata, pengguna boleh memaklumkan kepada kementerian berkenaan dengan menghubungi talian bebas tol 1 800 886 800 atau me-lalui cawangan kementerian jika mengesan pemborong atau peruncit yang enggan menjual gula pada harga ditetapkan bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

No comments:

Post a Comment