Sunday, January 24, 2010

Pencuri kabel terhumban ke tali air

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my



ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengangkat mayat suspek kes curi kabel yang mati terjatuh ke dalam tali air ketika dikejar peronda polis di Jalan Sungai Jagong, Sungai Petani, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



SUNGAI PETANI 24 Jan. – Akibat cuba melarikan diri dari dikejar polis peronda, seorang pencuri kabel menemui ajal apabila tercampak keluar dari keretanya yang terbabas dan terbalik di Jalan Sungai Jagong, Semeling dekat sini awal pagi ini.

Suspek yang dikenali sebagai Mohd. Kasini, 21, cedera parah selepas terhumban ke dalam tali air di tepi bahu jalan terbabit.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 3 pagi, ketika Mohd. Kasini bersama dua rakannya dipercayai baru selesai mencuri kabel di sekitar kawasan Kota Sarang Semut, dekat Alor Setar.

Mereka bagaimanapun terserempak dengan sebuah kereta peronda polis lalu melarikan diri menaiki kereta jenis Perodua Kembara ke arah Lebuh Raya Utara Selatan.

Anggota peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar lalu mengejar mereka sehingga ke Plaza Tol Pendang sebelum turun di Plaza Tol Sungai Petani Selatan dengan jarak melebihi 50 kilometer.

Suspek kemudian menggunakan laluan Jalan Lencongan Barat menghala ke arah Semeling sebelum dikejar sebuah lagi kereta peronda dari IPD Kuala Muda.

Sejurus tiba di tempat kejadian, kereta suspek cuba menghimpit kenderaan polis tetapi hilang kawalan dan merempuh penghadang jalan.

Akibat rempuhan berkenaan, kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik beberapa kali.

Malangnya, Mohd. Kasini yang duduk di belakang tempat duduk pemandu tercampak keluar dan terhumban ke dalam tali air.

Polis kemudian berjaya menahan pemandu dan seorang lagi suspek bagi membantu siasatan.

Mayat Mohd. Kasini ditemui kira-kira pukul 5 pagi ini selepas gerakan mencari dan menyelamat dijalankan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, kedua-dua suspek berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan kerana mencuri dan cuba melarikan diri dari pemeriksaan polis.

“Polis akan menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti sama ada mereka turut terlibat dalam kejadian pecah rumah di sekitar daerah Kota Setar,” katanya.

“Selain itu, polis turut menemui beberapa peralatan digunakan suspek untuk memecah rumah dan mencuri kabel seperti parang dan gergaji di dalam kereta terbabit,” katanya.

No comments:

Post a Comment