Wednesday, January 20, 2010

Pegawai Exco ditahan

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 20 Jan. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan setiausaha sulit seorang Exco kerajaan negeri bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah melibatkan kelulusan kontrak perlombongan pasir dan lawatan ke China baru-baru ini.

Hussein Ahmad yang bertugas dengan Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan negeri, Yaakob Sapari ditahan dalam serbuan oleh lima pegawai SPRM di pejabatnya di tingkat 14, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada pukul 11.15 pagi.

Hussein kemudian dibawa ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya kira-kira pukul 3.30 petang ini.

Difahamkan, pegawai SPRM yang diketuai Penguasa Prem Raj Victor turut mengambil beberapa dokumen daripada pejabat Yaakob bagi membantu siasatan.

Sementara itu Yaakob memberitahu, pihaknya tidak mempunyai sebarang kuasa untuk meluluskan aktiviti perlombongan pasir di Selangor memandangkan ia di bawah tanggungjawab Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB).

Menurutnya, hanya KSSB yang boleh memproses permohonan aktiviti tersebut yang perlu dibentangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri.

Bagaimanapun beliau mengesahkan pegawai SPRM terbabit telah mengambil tiga dokumen yang mengandungi maklumat syarikat perlombongan pasir serta dokumen berkaitan lawatan ke negara China untuk tujuan siasatan.

Hussien telah dibawa ke Putrajaya sambil diiringi Yaakob serta peguam kerajaan negeri, Salim Bashir.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika diminta mengulas perkara itu memberitahu, pihaknya mengalu-alukan tindakan pegawai SPRM menjalankan siasatan terhadap pegawainya termasuk Exco kerajaan negeri.

Bagaimanapun beliau meminta suruhanjaya tersebut mematuhi prosedur yang ditetapkan untuk proses siasatan tersebut yang seharusnya dilakukan di pejabat kerajaan negeri dan pada waktu bekerja.

Malah katanya, kerajaan negeri juga akan turut menyediakan bantuan perundangan terhadap individu yang disoal siasat termasuk mendapatkan penasihat undang-undang sekiranya proses siasatan berkenan dilakukan di luar kawasan pejabat SUK dan melebihi waktu bekerja.

No comments:

Post a Comment