Tuesday, February 2, 2010

APMM patahkan cubaan seludup benih kerang

LUMUT 2 Feb 2010 - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar benih kerang bernilai RM22,000 selepas menahan sebuah lori di Kilometer 8, Jalan Teluk Intan-Sitiawan dekat sini semalam.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim 3 Lumut, Kapten Maritim Abdul Razak Lebai Omar berkata, kejayaan itu berikutan tindakan pihaknya mengekori sebuah lori dari arah Lekir menghala ke Teluk Intan selama hampir empat jam.

Menurut beliau, tangkapan dilakukan kira-kira pukul 5 petang oleh tiga anggota APMM diketuai Bintara Muda Saipu Ab. Rahman bersama Bintara Muda Firdaus Redzuan dan Laskar Kanan 1 Mohd. Fahmy Mohd. Zokri.

"Selepas mengekori dan menahan lori itu, kami mendapati kenderaan itu membawa 220 tin benih kerang bernilai kira-kira RM22,000 dipercayai cuba diseludup," katanya di sini semalam.

Terdahulu, katanya, tiga anggota APMM terbabit mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang memindahkan benih-benih kerang dari sebuah bot sebelum dimasukkan ke dalam lori muatan tiga tan di Bagan Pasir.

Berikutan itu, mereka bertindak mengekori lori berkenaan yang kemudian singgah di dua lagi lokasi iaitu di Sungai Belukang dan Bagan Lipas.

Pemandu lori berumur 38 tahun itu ditahan berikutan gagal menunjukkan sebarang dokumen sah membabitkan pembelian atau penjualan benih kerang.

"Lelaki tersebut ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemuliharaan Kultur Kerang) 2002," kata Abdul Razak.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

No comments:

Post a Comment