Wednesday, February 10, 2010

Taktik simpan rokok dalam setor di hutan tumpas

KUALA TERENGGANU 10 Feb 2010 - Pemantauan serius oleh Kastam Diraja Malaysia (KDRM) terhadap kegiatan penyeludupan rokok haram menyebabkan aktiviti penyeludupan barangan larangan itu kini semakin tergugat.

Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, segelintir daripada mereka menggunakan taktik baru termasuk menyimpan barangan seludup dalam setor yang dibina di hutan sebelum diedarkan dengan kenderaan kecil.

Terbaru, KDRM Terengganu mematahkan cubaan menyeludup masuk 790 karton rokok kretek pelbagai jenama bernilai RM76,493.42 termasuk cukai RM58,555.02 pada Sabtu lalu.

Menurut Pengarah KDRM negeri, Datuk Azis Yacub, dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Baru, Bandar Lama, Gua Musang, Kelantan pada pukul 8 malam itu, seorang lelaki berusia 33 tahun yang merupakan penghuni rumah tersebut turut ditahan.

Katanya, ini merupakan kes pertama pada tahun ini membabitkan pemantauan jabatannya sehingga ke negeri lain dalam usaha membanteras penyeludupan barangan haram itu.

"Kita telah membuat intipan dan mendapati sindiket ini memilih untuk menyimpan rokok tersebut di sebuah rumah untuk tempoh tertentu sebelum diedar secara berperingkat-peringkat dalam kuantiti sedikit bagi mengelak daripada dikesan.

"Dalam bulan ini saja, KDRM berjaya mematahkan dua cubaan menyeludup barangan kawalan menggunakan taktik yang sama," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Setia Mesra dan Perasmian Pejabat Penguatkuasaan di Panji Alam di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, sebanyak 15 buah kenderaan daripada pelbagai jenis yang dilucutkan hak kastam telah diserahkan kepada empat buah sekolah dan dua buah institut pendidikan untuk kegunaan rasmi mereka.

Mengulas lanjut, selain penyeludupan rokok tanpa permit, Azis turut memaklumkan tentang penahanan seorang lelaki berusia 50 tahun di Taman Fikri, Kemaman semalam kerana menjual arak tanpa lesen.

Katanya, sebanyak 38 botol arak pelbagai jenis bernilai RM400 turut dirampas manakala lelaki tersebut dikenakan kompaun sebanyak RM752.

No comments:

Post a Comment