Thursday, February 11, 2010

Rakyat asing ditahan edar wang palsu

KUALA LUMPUR: Kegiatan licik seorang warga asing dalam sindiket wang palsu tumpas selepas ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur di Persiaran Hamshire off Jalan Ampang, jam 12.30 pagi, Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany, berkata penangkapan warga Afrika berkenaan adalah susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang ahli perniagaan lelaki tempatan yang berumur lingkungan 50-an yang ditawarkan khidmat pertukaran wang oleh suspek.

Beliau berkata polis kemudiannya mengekori sebuah kereta Gen-2 warna biru yang menuju ke Ampang dan menahan kereta suspek dan hasil pemeriksaan telah menjumpai 1,778 keping wang dominasi RM50 pelbagai nombor siri yang disyaki palsu dalam sebuah beg hitam di bahagian tempat duduk sebelah pemandu.



Izany berkata suspek yang tinggal di Ampang dan mengaku memasuki negara ini menggunakan pas pelajar, akan disiasat memandangkan tidak terdapat dokumen pengenalan diri suspek ketika ditahan.

"Kami akan bekerjasama dengan pihak imigresen bagi mengetahui identiti sebenar warga asing tersebut dan sama ada suspek memasuki negara ini secara sah atau tidak.

"Suspek juga dipercayai menjalankan kegiatan ini dengan menelefon mangsa secara rawak dan menawarkan khidmat pertukaran wang mengikut nisbah dolar Singapura SD20,000:RM140,000 dan akan menetapkan waktu perjumpaan untuk transaksi pertukaran wang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata kes akan disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Beliau menasihati orang ramai agar melakukan pertukaran wang di institusi wang yang berlesen seperti bank dan pengurup wang berlesen untuk mengelakkan taktik sindiket penipuan wang palsu ini dan menghubungi talian Rakan Cop 03-21159999 atau SMS ke 32728 jika mempunyai maklumat institusi pertukaran wang tidak berlesen. - Bernama

No comments:

Post a Comment