Friday, February 5, 2010

Kilang guna gas subsidi

JOHOR BAHRU 5 Feb 2010 - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri mengesan taktik sebuah kilang sarung tangan getah di sini yang menggunakan gas memasak subsidi untuk menjimatkan kos operasi.

Pengarahnya, Che Halim Abd. Rahman berkata, kilang itu sepatutnya menggunakan gas industri yang berharga RM3.30 sekilogram dan bukannya gas memasak domestik yang diberi subsidi pada harga RM1.75 sekilogram.

Beliau berkata, dalam serbuan pada pukul 1 petang itu, pihaknya menemui 1,334 tong gas memasak 14 kilogram yang bernilai RM149,000.

"Siasatan awal mendapati, kilang terbabit menyembunyikan tong-tong gas itu di dalam takungan air dan menyambungkan gas dari tong tersebut ke saluran paip besar.

"Serbuan ini juga berjaya menemui 822 tong berisi gas, 196 tong kosong dan 216 tong di atas lori yang baru sampai," katanya ketika ditemui di kilang itu hari ini.

Che Halim berkata, kejayaan serbuan ke atas kilang yang terletak di kawasan Perindustrian Ulu Tiram itu hasil intipan selama dua minggu berdasarkan maklumat orang awam.

Tambahnya, ketika serbuan, kilang tersebut sedang beroperasi namun tiada tangkapan dibuat.

"Pemilik kilang telah dikenal pasti dan perbuatan tersebut menjadi kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Jika sabit kesalahan, pemiliknya boleh didenda tidak kurang RM100,000 atau penjara tidak kurang tiga tahun," katanya.

No comments:

Post a Comment