Thursday, February 4, 2010

Sindiket guna surat warta palsu pembalakan dibongkar

HULU SELANGOR 4 Feb 2010 - Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor mendedahkan sindiket terlibat dalam kes pembalakan haram di Ladang Sungai Remuk di sini yang dibongkar kelmarin, menggunakan surat pewartaan tanah rizab perkampungan Orang Asli palsu.

Pegawai Daerahnya, Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, surat itu digunakan untuk mengaburi mata pihak berkuasa bagi menjalankan kegiatan berkenaan.

Katanya, enam individu dipercayai terlibat dengan kegiatan haram itu kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 40 Akta Perhutanan Negara 1984 dan Seksyen 425 Akta Kanun Tanah Negara.

"Tanah yang telah diceroboh itu dikesan seluas 30 hektar dan ia termasuk dalam kawasan yang akan digazetkan untuk perkampungan Orang Asli.

"Ini bermakna kawasan pembalakan haram itu dilakukan tanpa permit dalam tanah kerajaan negeri yang keseluruhannya seluas 350 hektar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan bersama Pegawai Hutan Daerah Hulu Selangor, Abd. Ramlizauyahhudin Mahli dan Pegawai Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Daerah Hulu Selangor, Zainal Abidin Mat ke lokasi pembalakan itu di sini hari ini.

No comments:

Post a Comment