Tuesday, February 9, 2010

Ketua PKPM, dua rakan menipu dihukum penjara

KUALA LUMPUR 9 Feb 2010 - Angkara terbukti melakukan konspirasi menipu orang awam, Ketua Pasukan Khas Persekutuan Malaysia (PKPM), Nor Azami Ahmad Ghazali bersama dua bekas anggota lembaga amanah pasukan itu dihukum penjara antara 12 dan 18 bulan.

Nor Azami, 43, bersama bekas Pengarah Sumber Manusia Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Abdul Rahman Baba, 63; dan ahli perniagaan, Tengku Hamid Tengku Ismail, 77, menerima hukuman masing-masing setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Mohd. Nasir Nordin memutuskan demikian setelah mendapati Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusof berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh selepas mendengar keterangan daripada 27 saksi.

Beliau memerintahkan Nor Azami dan Abdul Rahman masing-masing dihukum penjara 18 bulan, manakala Tengku Hamid dijatuhi hukuman penjara 12 bulan.

Hukuman tersebut adalah bagi kesalahan terlibat dalam konspirasi menipu orang awam agar mempercayai mereka bertindak mengambil ahli bagi pertubuhan berdaftar, Pasukan Tindakan Cemas Malaysia (PTCM).

Sedangkan sebenarnya ia dilakukan untuk pertubuhan lain yang akan ditubuhkan.

Mereka didapati melakukan kesalahan itu antara 19 September 2002 dan 21 Jun 2003 di premis No. 07-1926, Jalan Besar Taman Bukit Angkasa, Pantai Hill Park di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 120b(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Di samping itu, Abdul Rahman dan Tengku Hamid dihukum penjara enam bulan setelah disabitkan atas kesalahan memalsukan dokumen iaitu surat pasukan PTCM.

Mereka didapati melakukan kesalahan itu pada 17 Oktober 2002 di Kementerian Sains Teknologi dan Alam Sekitar, Aras 3 Blok C5 Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Atas permohonan ketiga-tiga tertuduh, hukuman itu yang berkuat kuasa hari ini bagaimanapun berjaya ditangguhkan pelaksanaannya.

Ini bagi membolehkan mereka mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi setelah tidak berpuas hati dengan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan.

No comments:

Post a Comment