Saturday, February 6, 2010

KPDNKK Sabah rampas 1.52 tan gula disorok (6/2/10)

PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah merampas 1.52 tan gula yang dipercayai disorok enam peniaga dalam operasi bersepadu awal bulan ini sehingga semalam, sekali gus membuktikan wujud kegiatan menyorok bekalan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pengarahnya, Jaafar Walad, berkata rampasan terbesar adalah 720 kilogram (kg) gula di dua premis di sini, kelmarin dan diikuti 324 kg di Inanam, Kota Kinabalu, 278 kg (Menggatal, Kota Kinabalu) serta masing-masing 100 kg di Sabindo, Lok Kawi, dan Kolombong, Kota Kinabalu.

Katanya, pihaknya akan menyerahkan kes itu kepada Timbalan Pendakwa Raya Persekutuan untuk difailkan di mahkamah.



Beliau berkata, peniaga terbabit dipercayai menyorok bekalan untuk memastikan harga gula naik dan mereka akan memperoleh pulangan lumayan.

"Kita yakin kegiatan menyorok bekalan gula untuk memastikan harga barang kawalan harga itu dinaikkan oleh kerajaan dan menikmati keuntungan segera," katanya selepas operasi pemeriksaan premis kedai runcit dan pasar raya oleh pegawai dan kakitangan KPDNKK, di sini dan Kolombong, semalam.

Dalam operasi tiga jam itu, KPDNKK Sabah merampas 200 kg gula masing-masing 100 kg di Sabindo dan Kolombong.

Jaafar berkata, pegawai kementerian menyamar sebagai orang awam untuk bertanya sama ada kedai runcit atau pasar raya menjual gula.

No comments:

Post a Comment