Monday, February 8, 2010

Sorok gula belakang botol arak tumpas (8/2/10)

SEORANG anggota penguat kuasa memeriksa gula yang disorok oleh peniaga di salah sebuah kedai runcit di Kinarut, Kota Kinabalu, kelmarin.

--------------------------------------------------------------------------------



KOTA KINABALU 8 Feb 2010 - Helah beberapa peniaga menyorok gula di belakang botol arak dan tin biskut terbongkar apabila diserbu pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam operasi semalam.

Pengarah KPDNKK negeri, Jaafar Walad berkata, kebanyakan peniaga berkenaan berbuat demikian kerana ingin mengaut keuntungan lebih, ekoran khabar angin menyatakan akan berlaku kenaikan harga bahan keperluan itu.

"Apabila pihak kami melakukan samaran membeli gula di premis itu, peniaga berkenaan menyatakan ia tiada, tetapi ketika serbuan kita menemui berkarung-karung bahan tersebut di premis mereka.

"Kebanyakan peniaga menggunakan modus operandi yang sama iaitu menyorok gula di sebalik bungkusan botol arak dan tin biskut," katanya di sini semalam.

Jaafar berkata, peniaga tersebut akan didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 15 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyorok barang kawalan iaitu gula.

Beliau menambah, dalam operasi di Papar dan beberapa kawasan sekitar pusat bandar, kira-kira 1.5 tan dianggarkan bernilai RM2,693 dirampas daripada peniaga tidak bertanggungjawab itu.

"Di Papar sebanyak 720 kilogram bekalan gula dirampas di dua premis, diikuti Inanam 324 kg dan Menggatal sebanyak 278 kg.

"Semalam kami berjaya merampas sebanyak 200 kg gula di dua premis di Kinarut dan Kolombong," katanya.

Beliau berkata, peniaga dinasihatkan supaya mengutamakan kepentingan pengguna dan tidak cepat terpengaruh dengan khabar angin bagi mengaut keuntungan yang lebih besar.

"Proses samaran akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengesan peniaga yang tidak bertanggungjawab itu," ujarnya.

No comments:

Post a Comment