Thursday, February 25, 2010

Warga asing ditahan palsu 2,000 dokumen (25/2/10)

ALOR SETAR: Sepasang suami isteri warga Indonesia ditahan Jabatan Imigresen selepas dikesan menjadi dalang kepada sindiket pemalsuan lebih 2,000 dokumen perjalanan, termasuk dokumen rasmi kerajaan sejak setahun lalu, di Subang Jaya, Selangor, tengah malam kelmarin.

Penahanan suami isteri dari Aceh berusia antara 30 dan 40-an itu dilakukan kira-kira jam 12.30 tengah malam, selepas tertangkapnya dua warga Indonesia dipercayai bertindak sebagai orang tengah kepada sindiket itu di Sungai Petani dan Seberang Jaya, Pulau Pinang, Isnin lalu.

Difahamkan, pasangan itu memperoleh pendapatan lumayan dengan memalsukan pelbagai dokumen kerajaan termasuk Mykad, I-Kad, pelekat Pas Kerja Lawatan Sementara (PKLS), My-Pr, lesen memandu dan Pasport Indonesia yang dipercayai dijual kepada pendatang tanpa izin pada harga RM200 hingga RM300 setiap satu.

Pengarah Jabatan Imigresen Kedah, Mohd Zulfikar Ahmad, berkata penahanan orang tengah termasuk seorang wanita warga Aceh itu membongkar kegiatan dilakukan pasangan berkenaan.
Beliau berkata, pasangan yang mempunyai seorang anak lelaki berusia enam tahun itu ditahan pegawai Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kedah dibantu anggota dari Putrajaya di sebuah rumah flet di Subang Jaya, Selangor.

“Ketika serbuan, rumah berkenaan berkunci dan peluang ini dipercayai digunakan pasangan berkenaan untuk menyorok pelbagai peralatan memproses dokumen palsu itu.

“Kita percaya mereka menjalankan kegiatan berkenaan sejak setahun lalu dengan memproses sekurang-kurangnya lima dokumen sehari dan mensasarkan pendatang tanpa izin sebagai pelanggan.

“Setiap dokumen palsu dijual kepada orang tengah dengan harga RM200 hingga RM300 sebelum dijual kepada pelanggan dengan harga lebih tinggi mencecah RM600 senaskhah,” katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, Imigresen merampas enam Pasport Indonesia kosong, masing-masing tujuh Pasport Indonesia berindentiti, I-Kad, Pelekat PKLS serta 16 cop pelbagai jenis agensi kerajaan, kad putih tidak bercip (382), kad bercip (empat) dan kertas pelekat PLKS (85).

Kes di siasat di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959 (pindaan 2002) kerana memalsukan atau meminda bagi pengendosan atau dokumen dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM30,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun.

atau kedua-duanya sekali.

Katanya, selain itu, pihaknya turut merampas peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dokumen palsu itu termasuk seunit komputer dan komputer riba serta lima gulung plastik filem.

"Pasangan itu dipercayai menyorokkan semua bahan kes dan peralatan memproses di rumah itu termasuk dalam tong sampah, bilik air, tangki air selain diletakkan dalam peralatan elektrik termasuk mesin basuh dan peti sejuk.

"Malah, kita percaya pasangan berkenaan juga dipercayai menggunakan dokumen pengenalan diri dan pasport palsu," katanya.

Beliau berkata, Seksyen 55D Akta Imigresen 1959 (pindaan 2002) kerana memalsukan atau meminda bagi pengendosan atau dokumen dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM30,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Pasangan itu ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik" katanya.

No comments:

Post a Comment