Friday, February 12, 2010

Koperasi rugi, 40,000 perdu serai tak laku (12/2/10)

ABDULLAH (kanan) menunjukkan tanaman serai yang telah matang tetapi tidak dituai kerana tiada pembeli.


Pihak janji beli dengan harga tinggi hilangkan diri

KULIM: Sebanyak 40,000 perdu serai yang ditanam ahli Koperasi Peneroka Felda Gunong Bongsu, di sini, yang sudah matang masih tidak dapat dituai kerana tidak mempunyai pasaran.

Setiausaha koperasi itu, Abdullah Abu, berkata ketika mereka memulakan projek itu di tanah terbiar seluas dua hektar pada awal tahun lalu, ada pihak memberi jaminan untuk membeli serai berkenaan dengan harga yang lumayan selepas serai yang ditanam matang.

“Tapi apabila 40,000 rumpun serai itu sedia untuk dituai Oktober tahun lalu, pihak berkenaan menghilangkan diri mengakibatkan kami hilang arah untuk memasarkannya,” katanya.

Abdullah berkata, koperasi cuba mendapatkan bantuan Fama daerah Kulim, tetapi ia hanya mampu membeli sebanyak 100 kilogram serai itu pada 70 harga sen sekilogram.

“Ini agak mengecewakan ahli koperasi kerana harga yang dibeli Fama amat rendah berbanding harga pasaran RM1.80 sekilogram,” katanya.

Abdullah berkata, kini 1,000 kilogram serai belum dituai kerana masih menunggu pembeli.

“Kalau tak dapat jual terpaksalah dicabut saja rumpun-rumpun serai ini untuk memberi laluan kepada projek pertanian lain pula,” katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment