Thursday, February 11, 2010

NASIONAL Kastam patah cubaan seludup 50,000 karton rokok putih (12/2/10)

BUTTERWORTH: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) mematahkan cubaan menyeludup 50,000 karton rokok putih berjenama TEX bernilai RM5.9 juta, termasuk cukai selepas menahan sebuah kontena di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini, Ahad lalu.

Pengarah KDRM Pulau Pinang, Datuk Matrang Suhaili, berkata pihaknya melakukan intipan seminggu sebelum membuat serbuan kira-kira jam 2.10 petang selepas menerima maklumat awam.

Pemeriksaan ke atas kontena bersaiz 12 meter panjang dibawa masuk dari Kanada membawa kepada penemuan 1,000 kotak besar di dalamnya mengandungi 50,000 karton rokok putih.



Katanya, seorang penyelia dan dua pemandu jentera sebuah syarikat pengangkutan berumur antara 30-an dan 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan.

Rokok putih itu diikrar sebagai makanan haiwan sebanyak 24 tan bagi mengelakkan cukai kerana makanan haiwan tidak tertakluk kepada sebarang duti, cukai atau larangan

"Rampasan itu adalah yang terbesar di negeri ini pada tahun ini dan kami percaya ia untuk pasaran tempatan," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Matrang berkata, siasatan juga mendapati suspek cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menggunakan nama sebuah syarikat pengimport makanan haiwan beralamat di Sungai Bakap, Nibong Tebal.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 (semakan 1980) iaitu mengimport atau mengeksport barangan tidak berkastam atau larangan.

Sementara itu di KUCHING, KDRM mematahkan cubaan menyeludup masuk rokok kretek dari negara jiran bernilai RM1.6 juta termasuk cukai, dalam serbuan di sebuah gudang di Pelabuhan Senari, Jumaat lalu.

Pengarah KDRM Sarawak, Datuk Rusmani Abdul Sukur, berkata ia rampasan terbesar KDRM Sarawak setakat ini.

Katanya, penyeludup cuba mengaburi pihak berkuasa dengan mengisytiharkan kontena sepanjang tujuh meter yang digunakan sebagai mengandungi kacang soya.

Tiada tangkapan dibuat ketika serbuan, tetapi hasil siasatan awal pihak kami sudah mengenalpasti ejen diberi kuasa untuk membawa masuk kontena itu ke negeri ini," katanya di Ibu Pejabat KDRM, di sini, semalam.

No comments:

Post a Comment