Wednesday, February 24, 2010

Polis tumpas kumpulan curi jongkong timah di Pelabuhan Johor

24/02/2010 3:42pm

JOHOR BAHRU 24 Feb 2010 – Polis menumpaskan satu kumpulan pencuri jongkong timah bernilai RM1.3 juta dari sebuah gudang simpanan di Pelabuhan Johor, di Pasir Gudang berikutan penahanan enam lelaki di sekitar kawasan berkenaan, di sini, awal bulan ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kesemua mereka ditahan pada 6 Februari lepas ekoran penahanan seorang daripada mereka oleh anggota polis Pelabuhan Johor, pada kira-kira pukul 7 malam sebelum lima yang lain ditahan di kawasan Taman Kota Masai serta Pasir Gudang.

"Sepasukan anggota polis Pelabuhan Johor menahan sebuah lori treler jenis Mitsubishi yang dipandu oleh seorang lelaki yang membawa muatan 850 jongkong logam itu.

"Siasatan lanjut mendapati jongkong tersebut dicuri dari sebuah gudang simpanan kepunyaan Syarikat Pacoroni Toll Pte. Ltd., Singapura, yang melibatkan kerugian RM1.3 juta,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Mohd. Mokhtar berkata, kesemua lelaki berumur 25 hingga 30 tahun itu direman mulai 7 hingga 17 Februari lepas dengan semakan rekod mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah rogol di Plentong, di sini, dan mencuri kenderaan di Ampang, Selangor. – Bernama

No comments:

Post a Comment