Tuesday, February 9, 2010

Cubaan rompak ATM bank gagal

SITIAWAN 9 Feb. - Cubaan sekumpulan penjenayah untuk melarikan wang tunai daripada beberapa buah mesin pengeluar automatik (ATM) di sebuah bank di Kampung Koh di sini, gagal selepas alat penggera bank itu berbunyi, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd. Jamil Osman berkata, kejadian itu dikesan berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi semalam.

"Pada mulanya, polis yang bergegas ke kawasan kejadian mendapati tiada sebarang kejadian mencurigakan berlaku di bank tersebut.

"Bagaimanapun, pada pukul 8.30 pagi semalam, pegawai bank yang ingin memulakan tugasnya mendapati pintu premis itu terkunci dari dalam.

"Beliau kemudian menuju ke pintu belakang dan terkejut apabila mendapati pintu belakang bank berkenaan tidak berkunci kerana sudah diumpil," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, penjenayah berkenaan memasuki bank terbabit melalui pintu belakang yang diumpil dan cuba memecahkan ATM tetapi tidak berjaya.

Hasil pemeriksaan yang dilakukan, polis turut mengesan beberapa kesan tompokan darah dalam bank berkenaan dipercayai kesan luka yang dialami penjenayah ketika memecah mesin ATM.

Menurut Mohd. Jamil, walaupun bank itu memiliki kamera litar tertutup (CCTV), namun ia sukar untuk merakamkan wajah penjenayah itu kerana keadaan sekeliling di tempat kejadian ketika itu gelap.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pengusaha bank, kedai emas dan pajak gadai di daerah ini supaya tidak mengabaikan aspek keselamatan terutamanya menjelang musim perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment