Wednesday, February 10, 2010

JAIS kesan 4 kes salah guna perkataan halal di Sarawak

KUCHING 10 Feb. - Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) mengesan empat kes membabitkan penyalahgunaan perkataan halal bagi melariskan perniagaan di negeri ini sejak tiga tahun lalu sehingga sekarang.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Sarawak, Datuk Daud Abdul Rahman berkata, antara cara yang mereka gunakan adalah mempamerkan logo halal yang bukan dikeluarkan oleh JAIS.

Selain itu, katanya, ada juga yang memiliki sijil halal dikeluarkan kerajaan, tetapi menghidangkan makanan yang tidak halal atau dijual bercampur dengan makanan tidak halal.

''Setakat ini, kita kesan empat kes di negeri ini sejak tiga tahun lalu dan pesalah sudah dikenakan kompaun.

''Empat kes itu membabitkan restoran dan sebuah premis perniagaan menjual daging serta ayam," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) di sini hari ini.

Daud berkata, logo halal yang dikeluarkan oleh JAIS adalah berwarna hijau dan menggunakan tulisan jawi, malah ia seragam di seluruh negeri.

Mengulas mengenai penggunaan sijil halal palsu pula, Daud yang juga Pengerusi Lembaga Baitulmal dan Waqaf berkata, setakat ini, tiada kes penggunaan sijil halal palsu dikesan di negeri ini.

Katanya lagi, beliau belum menerima atau ternampak pemilik premis makanan, premis penyimpanan makanan sejuk beku dan pusat penyembelihan yang menggunakan sijil halal palsu.

''Kalau didapati mereka yang menggunakan sijil halal palsu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972," tegasnya.

Pada masa yang sama, Daud mengingatkan pengguna Islam di negeri ini supaya berwaspada dengan penggunaan logo halal yang dipamerkan untuk produk import kerana ada sesetengah produk tidak mendapat pengiktirafan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurut beliau, bukan semua produk import tidak halal, namun ada sesetengah daripadanya tidak memenuhi standard yang ditetapkan Jakim.

''Sehubungan itu, pengguna Islam di negeri ini perlu sentiasa berwaspada dan berhati-hati.

''Jika ada sebarang kemusykilan, sila hubungi pejabat JAIS atau Jakim bagi menentukan sama ada sesuatu produk itu halal atau sebaliknya," katanya.

Pada Selasa lalu, Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan memberitahu, sijil halal palsu boleh dibeli dengan harga antara RM800 dan RM1,000 setiap satu daripada dua syarikat.

No comments:

Post a Comment