Monday, February 8, 2010

Peranan Wan Azizah dipersoal

KUALA LUMPUR 8 Feb 2010 - Peranan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mula dipersoalkan kerana masih belum membuat sebarang penjelasan berhubung dakwaan pemilikan saham Azmin Ali dan isterinya, Shamsida Taharin yang dikatakan mencecah RM8 juta.

Bekas Naib Presiden PKR, Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak berkata, perkara itu tidak boleh dianggap sebagai isu peribadi kerana Azmin pada masa ini adalah Naib Presiden parti itu.

Tambahan pula katanya, pemberian saham berkenaan dikatakan berlaku ketika Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim Anwar memegang portfolio Menteri Kewangan.

"Wan Azizah kena jelaskan isu ini, adakah dia tidak terfikir kenapa Azmin dan Shamsida diberi keistimewaan sedemikian rupa dan rakyat pula mahu tahu sama ada dakwaan berkenaan benar atau tidak.

"Jika tiada penjelasan semua orang akan tertanya-tanya dan ia akan menjejaskan imej parti, pada saya apa guna memegang jawatan presiden jika tidak mampu mempertahankan parti sendiri" katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada November tahun lalu, Pengerusi Yayasan Belia India Malaysia, S.A Vigneswaran mendedahkan beliau memiliki dokumen berkaitan pembelian saham berkenaan.

Ekoran pendedahan itu, Anuar Shaari yang merupakan bekas setiausaha sulit Anwar telah menyerahkan kesemua dokumen berkaitan serta memberikan keterangan kepada polis yang kemudiannya dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Anuar juga menamakan beberapa individu yang didakwa terlibat dalam pemilikan saham itu termasuk Anwar, kerana dokumen-dokumen bertarikh 1992 hingga 1994 tersebut berlaku ketika Ketua Pembangkang itu memegang portfolio Menteri Kewangan.

Sementara itu, Saidatul Badru turut mempersoalkan adakah Wan Azizah takut untuk membuat penjelasan kerana isu itu membabitkan Anwar yang juga suaminya.

Katanya, jika status hubungan suami isteri mahu diambil kira maka Wan Azizah sepatutnya membuat penjelasan bagi membersihkan imej suami sekiranya mereka berada di pihak yang benar.

Tegasnya, jika tidak mahu menegakkan kebenaran maka adalah lebih baik sekiranya Wan Azizah mengundurkan dirinya daripada jawatan itu bagi memberi laluan kepada pemimpin yang lebih layak.

"Kalau ada perkara yang mahu diselindungi, lebih baik berhenti dan duduk di rumah sahaja sebagai isteri.

"Tiada gunanya berada menjadi presiden parti jika sekadar menjadi 'perhiasan' struktur kepimpinan, pada saya adalah lebih baik dia menjadi 'perhiasan' rumah tangganya," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyifatkan Wan Azizah sebagai seseorang yang telah gagal memanfaatkan peluang untuk membuktikan keupayaan kaum wanita di negara ini.

Lebih malang lagi katanya, peluang itu gagal dimanfaatkan sewaktu dia diberi kepercayaan untuk mengetuai sebuah parti politik kerana ia adalah satu pencapaian yang tidak pernah dilakar oleh mana-mana wanita di negara ini.

No comments:

Post a Comment