Friday, February 5, 2010

Sindiket jual manusia

Oleh UMAVATHI RAMAYAH
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 5 Feb 2010 - Seorang wanita warga China sanggup datang beribu-ribu kilometer ke negara ini semata-mata untuk merealisasikan impiannya bekerja sebagai pakar kecantikan.

Malah dia juga membelanjakan wang kira-kira RM28,000 untuk tujuan itu termasuk bayaran bagi mendapatkan permit kerja di sini.

Malangnya segala-galanya berkecai apabila dia menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang didalangi lima rakan senegaranya.

Sejurus sampai ke negara ini, Mac lalu, dia dikurung di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama, selama 10 bulan.

Mujurlah mangsa berjaya meloloskan diri lalu meminta bantuan daripada seorang lelaki warga tempatan.

Lelaki tersebut membawa mangsa ke sebuah balai polis berhampiran untuk membuat laporan.

Ekoran laporan itu, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur telah melancarkan serbuan di kondominium tersebut dan menahan lima suspek terbabit.

Pegawai Turus Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Razali Abu Samah berkata, empat wanita itu ditahan mengikut Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Katanya, suspek lelaki itu pula disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.

"Dalam serbuan ini juga kita merampas 11 pasport antarabangsa.

"Kita sedang menyiasat kemungkinan pasport itu milik mangsa sindiket itu atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ditanya tentang modus operandi sindiket itu, Razali berkata, lelaki berusia 40-an tersebut akan mengumpan wanita dari China dengan menjanjikan peluang pekerjaan cerah di Malaysia.

Dalam 'proses' itu, kata beliau, mangsa dikehendaki membayar sejumlah wang yang selalunya mencecah puluhan ribu ringgit bagi mendapatkan pekerjaan serta permit kerja.

Namun sebaik sahaja tiba di Malaysia, beliau berkata, mangsa akan dikurung dan dibiarkan tanpa diberi permit serta pekerjaan yang dijanjikan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan banyak lagi wanita yang menjadi sindiket itu.

"Kita dalam proses untuk mengesan kesemua mereka," jelasnya.

No comments:

Post a Comment