Thursday, February 11, 2010

NASIONAL Lelaki ajaran sesat dakwa miliki ijazah perubatan (12/2/10)

Oleh Samadi Ahmad
bhnews@bharian.com.my
Khidmat rawatan alternatif dihebah menerusi internet

PUTRAJAYA: Lelaki yang ditahan kerana terbabit dalam ajaran sesat di Putrajaya kelmarin mendakwa memiliki ijazah perubatan dan menyiarkan perkhidmatan rawatan alternatif yang menjanjikan penyembuhan serta-merta menerusi internet.

Perkhidmatan yang disiarkan dalam laman webnya turut memaparkan pelbagai penyakit yang didakwa boleh diubati seperti migrain, kanser payu dara, lumpuh dan terkena sihir.

Tinjauan laman web itu mendapati dia turut menawarkan 'ilmu pembuka hijab' dan mendakwa berhasrat melahirkan 3,000 hingga 15,000 orang yang mampu melihat rahsia ghaib dalam tempoh lima tahun.

Antara kelebihan yang disenaraikan mempelajari ilmu berkenaan ialah dapat mengucap syahadah ketika nazak, melihat iblis, syaitan serta jin, dapat memantau siapa yang mengganggu ibu bapa atau keluarga dari jauh dan mengetahui punca sakit melalui akhbar atau berita dengan serta-merta.

Akhbar semalam melaporkan Jawi membongkar kegiatan Ajaran Sesat Abdul Rejab Ahmad ketika serbuan di sebuah apartmen di Presint 17, Putrajaya yang berselindung di sebalik rawatan alternatif dan menahan seorang lelaki serta 10 yang lain, termasuk isterinya.

Ketua kumpulan itu bersama isterinya serta sembilan orang lain dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya atas tuduhan melakukan kesalahan mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Tertuduh, Abdul Rejab Ahmad, 50, didakwa mengikut Seksyen 5 dan Seksyen 6 akta berkenaan kerana kesalahan mengembangkan doktrin agama palsu dan membuat dakwaan palsu.

Sementara itu, seorang penduduk berkata beliau terkejut dengan serbuan itu kerana selama ini hanya mengetahui hanya ada perkhidmatan bomoh di kawasan kediamannya.

Beliau yang enggan dikenali mengakui pernah terserempak orang luar datang mencari unit apartmen yang terletak di tingkat dua di sebuah blok di situ untuk mendapatkan khidmat rawatan alternatif daripada lelaki terbabit.

"Saya terkejut apabila mendengar bunyi bising ketika serbuan dan hanya tahu ada kegiatan ajaran sesat apabila membaca akhbar hari ini (semalam)," katanya.

Apartmen kakitangan kerajaan itu baru diduduki empat bulan lalu, manakala lelaki berkenaan bersama keluarganya menduduki satu unit di situ dua bulan lalu.

Beliau mendakwa bomoh berkenaan biasanya memulakan rawatan selepas jam 10 malam dan pernah mendengar suara lelaki melaung-laung nama Allah dengan kuat selain mantera yang tidak dapat difahaminya.

"Kadang-kadang jeritan itu memang mengganggu kami terutama anak-anak kerana dilakukan sehingga lewat malam sehingga jam 1 atau 2 pagi," katanya.

No comments:

Post a Comment