Sunday, February 7, 2010

Stesen minyak langgar arahan jual minyak subsidi lebih kuota disita

ALOR SETAR 7 Feb 2010 - Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya, menyita sebuah stesen minyak di Changlun semalam, kerana menjual minyak bersubsidi melebihi kuota kepada kenderaan asing.

Sepasukan tujuh pegawai dari ibu pejabat KPDNKK di Putrajaya menyerbu stesen minyak di Jalan Changlun-Sintok 8.30 pagi semalam dan menyita 21,390 liter petrol dan 15,260 liter diesel, kesemuanya bernilai kira-kira RM64,000.

Jurucakap KPDNKK Putrajaya yang dihubungi hari ini berkata, pengusaha stesen tersebut disyaki menjual minyak bersubsidi melebihi 20 liter kepada kenderaan asing berikutan larangan kerajaan berhubung perkara itu bagi stesen minyak yang terletak dalam lingkungan 50 kilometer dari pintu sempadan negara pada 16 Disember lepas.

"Kami mendapati jualan harian stesen tersebut sangat tinggi sejak larangan itu dikuatkuasakan dan mengesyaki sesuatu lalu membuat intipan untuk mendapatkan bukti sebelum membuat serbuan.

"Hasil serbuan itu kami mendapati satu pam dibina di bahagian belakang bangunan dan satu hos panjang yang dipercayai digunakan bagi mengisi minyak ke dalam kenderaan," katanya.

Beliau berkata, hos tersebut disambungkan kepada pam tetapi penghujungnya diletakkan di dalam longkang dipercayai untuk mengaburi orang ramai.

Katanya, siasatan awal mendapati pengusaha stesen itu menjual petrol dan diesel dalam kuantiti yang banyak kepada pemilik kenderaan asing dan merupakan stesen pertama di Kedah disita KPDNKK atas kesalahan itu.

Kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. Kesalahan membabitkan individu boleh didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat boleh didenda sehingga RM250,000, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment